EKONOMI

FBM KLCI Mulakan Minggu Ini Dengan Sentimen Positif

17/11/2025 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia memulakan minggu ini dengan sentimen positif walaupun prestasi Wall Street bercampur-campur pada Jumaat lepas dan rendah di kebanyakan pasaran serantau.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.56 mata kepada 1,628.23 daripada 1,625.67 semasa ditutup pada Jumaat lepas, selepas dibuka tinggi 1.80 mata kepada 1,627.47. 

Dalam pasaran secara menyeluruh, terdapat 147 kaunter untung dan 145 kaunter rugi manakala 265 kaunter tidak berubah, 2,181 kekal tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 114.90 juta saham bernilai RM92.65 juta.

“Kami mendapati minat belian mula meningkat dalam sektor kewangan berikutan pengukuhan ringgit, berpotensi menaikkan indeks utama,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.95, CIMB menambah satu sen kepada RM7.54, TNB meningkat enam sen kepada RM13.48, IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM8.30, CelcomDigi dan SD Guthrie, masing-masing mendatar pada RM3.62 dan RM5.38 manakala Public Bank dan Press Metal, masing-masing merosot satu sen kepada RM4.28 dan RM6.42.

Dalam senarai paling aktif, Tanco dan Perak Transit, masing-masing meningkat setengah sen kepada 96 sen dan 27 sen. Icents naik satu sen kepada 44 sen, Insights Analytics menambah dua sen kepada 92 sen, Tan Chong menokok tiga sen kepada 72.5 sen, Pegasus Heights mendatar pada setengah sen, MMAG merosot setengah sen kepada tujuh sen dan Genting Malaysia berkurangan satu sen kepada RM2.36. 

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 14.16 mata kepada 11,837.22, Indeks FBM Emas naik 14.76 mata kepada 12,069.61 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 18.90 mata kepada 12,078.07. 

Indeks FBM ACE merosot 10.91 mata kepada 4,972.85.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 0.93 mata kepada 8,141.01, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.25 mata kepada 167.24, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 26.24 mata kepada 18,457.58 dan Indeks Tenaga menokok 0.51 mata kepada 756.12. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491568