JAKARTA, 17 Nov (Bernama) -- Forum Pemimpin Redaksi Indonesia menggesa pelaksanaan inisiatif “No Tax for Knowledge”, iaitu cadangan pengecualian cukai kepada organisasi media yang disahkan bagi menyokong kelangsungan kewartawanan berwibawa.
Ketua forum, Retno Pinasti dipetik agensi berita ANTARA pada acara Run for Good Journalism pada Ahad sebagai berkata inisiatif itu menyokong organisasi media yang komited menyampaikan maklumat tepat dan pendidikan kepada orang ramai.
Beliau berkata kewartawanan yang berwibawa penting bagi memastikan orang awam dan negara mendapat akses kepada berita yang boleh dipercayai.
“Dalam kebanjiran maklumat hari ini, berita palsu ada di mana-mana dan inilah peranan wartawan berwibawa untuk membimbing masyarakat dengan kebenaran dan pendidikan,” katanya.
Hadir sama ialah Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa, yang menyatakan bahawa beliau berkongsi kebimbangan forum tentang sektor media yang semakin tertekan, dan menyeru wartawan supaya terus menawarkan pandangan serta kritikan demi kepentingan ekonomi negara.
-- BERNAMA