SEREMBAN, 17 Nov (Bernama) -- Seorang guru agama hari ini dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berumur 13 tahun di surau sebuah sekolah menengah di Senawang di sini, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen Datin Surita Budin turut memerintahkan Farid Azhar Nawi, 47, menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletak di bawah pengawasan polis selama setahun setelah selesai menjalani hukuman.
Bagaimanapun, Surita membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai selepas mengambil kira fakta bahawa tertuduh adalah penjawat awam dan memerintah dia diikat jamin sebanyak RM20,000 manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Ketika membacakan penghakiman, beliau berkata setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan dakwaan tertuduh bahawa wujud pakatan atau cubaan pihak sekolah untuk mengenakannya adalah bersifat andaian serta gagal dibuktikan.
"Mahkamah tidak bertolak ansur dalam kes melibatkan amang seksual kanak-kanak kerana ia kesalahan serius dan tertuduh selaku tenaga pengajar, diberikan amanah untuk membimbing anak-anak namun menyalahgunakan kedudukan sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma selain mencemarkan nama guru agama serta menjatuhkan imej sekolah.
"Tertuduh sepatutnya melindungi dan memberi tunjuk ajar yang baik kepada anak murid tanpa mengambil kesempatan ke atas mangsa yang baru berusia 13 tahun ketika kejadian," katanya.
Farid, yang berdepan dua pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira 5.30 petang 4 Ogos 2022 mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 16(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Bagi kesalahan pertama, Surita menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun manakala bagi kesalahan kedua, Farid dihukum penjara dua tahun dan dua sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala Farid diwakili peguam Nor Azleen Khairina A. Aziz.
-- BERNAMA