SUKAN

Sukan SEA 2025: Kontinjen Negara Guna Jalan Darat Ke Songkhla

17/11/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) memilih menggunakan jalan darat bagi membawa kontinjen negara ke Songkhla yang beraksi pada Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata keputusan itu dibuat selepas beberapa siri mesyuarat bersama persatuan sukan dan pengurusan kontinjen atas faktor wilayah berkenaan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia.

Jefri berkata MSN juga telah mengadakan perbincangan bersama wakil Konsulat Malaysia di Songkhla, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi urusan logistik termasuk kemasukan kontinjen negara ke wilayah berkenaan.

“Mereka akan menginap satu malam di UUM sebelum bergerak ke Songkhla. Pergerakan ke Songkhla memakan masa enam jam dari sini dan dari sempadan pula dalam sejam setengah sahaja.

“Ini memberi masa rehat lebih panjang kepada atlet-atlet kita. Mereka akan pergi tiga hari sebelum, berbanding dua hari sebelum, bergantung kepada jadual acara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian penajaan antara MSN dan syarikat barangan sukan tempatan Corporate Hero Century Sdn Bhd (PACE) di sini hari ini, yang disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Antara acara sukan dipertandingkan di Songkhla adalah bola sepak, catur, kabaddi, karate dan pencak silat.

Malaysia dijadualkan menghantar 1,688 anggota kontinjen termasuk 1,166 atlet, menjadikan penyertaan terbesar negara dalam sejarah temasya sukan dwitahunan itu.

Selain Songkhla, Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini turut melibatkan dua lagi wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491763