Oleh Suraidah Roslan
LIBARAN, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri yang stabil adalah penting untuk memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksana dengan berkesan di Sabah, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila Zaini Tiksun.
Beliau berkata kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 perlu kukuh dan bukan sekadar bergantung kepada majoriti mudah bagi memastikan Negeri Di Bawah Bayu dapat ditadbir dengan lebih teratur serta terancang.
Zaini berkata hanya dengan mandat yang kuat barulah BN mampu melaksanakan pelbagai agenda yang dirangka untuk memberi manfaat kepada rakyat khususnya di DUN Sungai Manila.
“Walaupun saya calon muka baharu, saya sudah lama berkhidmat di kawasan Sungai Manila sebagai Ketua Perhubungan Parlimen Libaran, jadi saya sentiasa turun padang untuk menangani isu yang dihadapi rakyat.
“Kami mendengar setiap keluhan dan permasalahan penduduk... berdasarkan rekod perkhidmatan saya sejak 2022, saya yakin rakyat Sungai Manila akan terus memilih BN yang terbukti mampu membawa pembangunan ke kawasan ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zaini, yang juga pesara guru dan bekas penolong jurutera, berkata sejarah turut membuktikan bahawa BN konsisten dalam membawa pembangunan berterusan serta menitikberatkan kebajikan rakyat di semua peringkat.
Beliau juga berkata kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sehaluan agar peruntukan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih lancar serta berterusan kepada Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N51: SUNGAI MANILA: SABAH: 18,217
1.Irian Nanang PIS
2.Sittinara Sakah Warisan
3.Yusri Abu PN-Bersatu
4.Zaini Tiksun (BN-UMNO)
5.Faizal Wahab PPRS
6.Hazem Mubarak Musa GRS-Gagasan Rakyat
(2020: Mokran Ingkat: BN-UMNO: Majoriti Undi: 1,417)
-- BERNAMA