Daripada Farah Najihah Zuraimi
TOKYO, 18 Nov (Bernama) -- Meskipun hanya berketinggian 158 sentimeter dan berdepan pesaing yang lebih tinggi, atlet olahraga negara Azlan Kuste mencuri perhatian apabila menempah slot ke final 1500 meter (m) lelaki pada temasya Deaflympics 2025 di trek Stadium Komazawa Metropolitan hari ini.
Anak jati Sabah itu muncul antara enam pelari terbaik dalam saringan kedua pusingan pertama dengan catatan masa 4:14.69 saat (s), memperbaharui rekod peribadi 4:16.00s yang dicatat pada Liga Olahraga RS Kinabalu pada Februari lepas.
“Memang mereka semua dalam kondisi badan yang tinggi-tinggi tapi apa yang penting, saya dah buat latihan yang banyak. Walaupun perbezaan fizikal, akhirnya berjaya ke final. Saya dah buat terbaik dengan komposisi badan sedia ada,” katanya melalui jurubahasa isyarat di sini hari ini.
Ditanya mengenai strategi ketika memecut di pusingan terakhir, beliau berkata ia adalah perancangan barisan kejurulatihan kerana mengikut tempo pelumba lain untuk membantunya berada dalam pertarungan podium.
Dalam saringan kedua pusingan pertama itu menyaksikan tiga pelari terbaik ialah Al-Jubainawi Aws Mohammed (Iraq) dengan 4:10.76s, Koech John Kiplangat (Kenya) 4:12.37s dan Charniak Aliaksandr (Atlet Pekak Natural Individu) 4:13.67s.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa serta semua barisan yang menjadi tulang belakangnya, yang sentiasa memberikan semangat.
“Saya yakin mungkin boleh dapat warna ataupun pingat untuk final esok, jadi saya akan buat yang terbaik untuk Malaysia. Jadi jangan lupa, sentiasa sokong saya untuk terus bersemangat esok bagi membuktikan untuk Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Amiluddin Mohd Amin berkata anak jati Sabah itu berjaya menyerap tekanan dan menyesuaikan diri dengan cuaca.
“Azlan mempunyai tekad atau azam yang kuat untuk membuktikan beliau mampu memberikan saingan pada temasya Deaflympics buat kali pertama,” katanya.
-- BERNAMA