GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Sebanyak tujuh masjid bersejarah di Pulau Pinang telah digazetkan sebagai bangunan warisan dengan menerima peruntukan lebih RM1.17 juta bagi tujuan penyelenggaraan serta pemuliharaan struktur.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata tujuh masjid berkenaan ialah Masjid Kapitan Keling (RM400,000), Masjid Melayu Lebuh Acheh (RM404,343.20), Masjid Alimsah Waley (RM142,000), Masjid Jamek Benggali (RM182,100), Masjid Jamek Perangin (RM17,700) dan Masjid Titi Papan (RM27,150) manakala Masjid Pintal Tali belum mengemukakan permohonan lengkap.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) telah melaksanakan Talian Sokongan Pemilik Bangunan Warisan Kategori I dan II dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town bagi membantu pemilik bangunan, termasuk masjid warisan menjalankan kerja-kerja baik pulih.
“Pelan penyelenggaraan adalah untuk memastikan masjid-masjid berkenaan mengekalkan nilai sejarah, elemen seni bina, warisan budaya dan perlindungan berterusan agar ia berada dalam keadaan baik dan selamat.
"Kaedah penyelenggaraan perlu merujuk kepada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan dan Tapak dalam Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan Mohd Yusni Mat Piah (PN-Penaga) mengenai peruntukan untuk penyelenggaraan dan pemuliharaan masjid, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Mohamad berkata masjid-masjid berkenaan dibina antara 1801 hingga 1890 dan merupakan aset penting yang mencerminkan sejarah perkembangan komuniti Islam di Pulau Pinang.
Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan bangunan warisan berkenaan terus dipelihara bagi generasi akan datang.
-- BERNAMA