DUNIA

Kerjasama Asean-China Diperkukuh Untuk Memperkasa Rantaian Bekalan Serantau

18/11/2025 05:51 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

FUZHOU (China), 18 Nov (Bernama) -- Persetujuan ASEAN dan China untuk memperkukuh kerjasama mengenai piawaian, langkah-langkah sanitasi dan fitosanitari serta prosedur kastam merupakan langkah penting ke arah meningkatkan daya tahan ekonomi serantau dan mengukuhkan rantaian bekalan di tengah-tengah perubahan dinamik global.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerjasama itu akan menyokong ekonomi serantau yang lebih mampan, meningkatkan kemudahan perdagangan serta memastikan perjanjian perdagangan bebas terus seiring dengan perkembangan global yang sentiasa berubah.

Berucap pada "High-Level Thematic Dialogues of ASEAN-China Week 2025" (Dialog Tematik Peringkat Tinggi Minggu ASEAN-China 2025) di sini pada Selasa, beliau berkata bidang kerjasama yang diperkukuh itu merupakan antara hasil utama Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 baru-baru ini, yang turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dipertingkatkan.

Beliau menambah bahawa bidang tumpuan baharu itu merangkumi Ekonomi Digital, Ekonomi Hijau, Kesalinghubungan Rantaian Bekalan, Persaingan dan Perlindungan Pengguna serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“ASEAN menzahirkan komitmennya berdasarkan Kepusatan ASEAN dan diplomasi seimbang, melalui pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang, yang mencerminkan pendekatan ASEAN yang berkecuali dan inklusif,” katanya.

Nur Jazlan berkata kepimpinan Malaysia terus memperkukuh keupayaan rantau itu untuk mengurus dinamik geopolitik yang kompleks melalui libat urus berterusan dan dialog yang konstruktif.

Beliau menarik perhatian bahawa ASEAN kini mempunyai 11 anggota, dengan Timor-Leste sebagai ahli terbaharu, dan menegaskan bahawa meskipun keseragaman pandangan sepenuhnya bukanlah sesuatu yang mungkin atau perlu, ASEAN tetap berkongsi penghargaan terhadap penglibatan China yang konsisten dan konstruktif.

Mengenai transformasi digital, beliau mengetengahkan pertumbuhan pesat rantau itu dengan nilai ekonomi digital ASEAN pada 2024 melebihi US$300 bilion dan dijangka mencecah US$1 trilion menjelang 2030.

Beliau menambah bahawa China kekal sebagai pemacu utama kemajuan teknologi global, merangkumi hampir 30 peratus daripada hasil penyelidikan kecerdasan buatan (AI) dunia dan menyumbang lebih US$1.4 trilion setahun kepada ekonomi digitalnya.

Nur Jazlan berkata gabungan populasi muda ASEAN dengan ekosistem inovasi maju China membuka peluang besar untuk kerjasama dalam analisis data, robotik dan teknologi hijau.

Beliau menambah bahawa perkongsian digital ASEAN-China yang lebih mendalam akan membantu meletakkan Asia sebagai peneraju global dalam kemajuan teknologi dan pembangunan mampan.

Dianjurkan bersama oleh Pusat ASEAN–China (ACC) dan Kerajaan Rakyat Wilayah Fujian, Minggu ASEAN-China 2025 selama tiga hari itu bermula pada Isnin dengan tema “Our Shared Future: Bridging ASEAN 2045 and Chinese Modernisation.”

Acara itu bertujuan mengetengahkan kemakmuran Perkongsian Strategik Komprehensif antara China dan ASEAN, selain berperanan sebagai platform untuk memperkukuh persefahaman, mempromosikan kerjasama menang-menang dan memperdalam pertukaran antara rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492293