Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Ethiopia yang merupakan persinggahan pertama dalam rangka lawatan ke tiga negara di benua Afrika, bermula dengan lawatan rasmi selama tiga hari di Addis Ababa sehingga 20 November atas jemputan rakan sejawatnya, Dr. Abiy Ahmed Ali.
Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Ethiopia dan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Ethiopia yang terjalin sejak Januari 1965.
Sebuah pesawat sewa khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 12.35 tengah hari.
Pada lawatan itu, Anwar akan diberi sambutan rasmi di Istana Negara yang dihadiri Dr Abiy Ahmed, dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan dua hala.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.
Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, diikuti lawatan rasmi ke Kenya.
-- BERNAMA