KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Trend peningkatan kes alahan dalam kalangan kanak-kanak semakin menjadi kebimbangan kesihatan awam apabila kebanyakan mereka mengalami reaksi terhadap pencetus seperti hama habuk, tindak balas makanan dan pencemaran.
Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Pernafasan Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway Dr Noor Zehan Abdul Rahim berkata dianggarkan seorang daripada lima kanak-kanak di Malaysia mungkin mengalami alahan, disebabkan kehidupan di bandar dan pendedahan terhadap alahan di dalam dan luar rumah.
“Alahan bukan sekadar bersin atau ruam pada kulit, ia boleh memberi kesan mendalam terhadap kualiti hidup seorang kanak-kanak. Kehidupan di bandar mendedahkan kanak-kanak kepada alergen yang lebih tinggi seperti hama habuk, asap dan pencemaran.
“Walaupaun Ibu bapa tidak boleh mengawal segala-galanya, mereka boleh mengambil langkah menjadikan rumah mereka tempat perlindungan lebih selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hama habuk merupakan perengsa paling lazim untuk alahan pernafasan di Malaysia, yang membiak dalam keadaan lembap dan bersembunyi di dalam tilam, permaidani dan barangan perabot lembut.
Menurutnya, bulu haiwan peliharaan, debunga, kulapuk serta sesetengah jenis makanan seperti kacang tanah, makanan laut dan susu turut menyumbang kepada peningkatan kes alahan.
Dr Noor Zehan berkata simptom alahan berbeza-beza dan selalunya muncul antara umur dua hingga tiga tahun manakala alahan makanan boleh berlaku seawal enam tahun dan alahan pernafasan pula bermula sekitar lima atau enam tahun.
Beliau berkata ibu bapa perlu memberikan perhatian khusus terhadap simptom beterusan atau berulang termasuk bersin, batuk, berdehit atau hidung tersumbat, tindak balas kulit seperti ruam atau ekzema, muntah atau cirit-birit dengan merekodkan diari simptom bagi membantu mengenal pasti corak alahan.
“Ibu bapa perlu perhatikan jika ada simptom berulang. Jika anak kerap menunjukkan tindak balas selepas mengambil sesuatu makanan atau berada dalam persekitaran tertentu, ia perlu disiasat dengan lebih lanjut,” katanya.
Dr Noor Zehan berkata alahan yang tidak dirawat boleh memberi risiko lebih serius seperti menyebabkan sinusitis kronik atau asma, yang boleh mengganggu tidur, fokus dan aktiviti harian anak-anak.
Kadar asma dalam kalangan kanak-kanak Malaysia turut menyaksikan peningkatan daripada 6.4 peratus kepada 9.4 peratus bagi kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun, dan daripada 9 hingga 13 peratus bagi kanak-kanak berusia 13 hingga 14 tahun.
“Asma yang disebabkan oleh alahan tidak dirawat boleh mengubah kehidupan jika tidak diuruskan dengan betul. Amat menyedihkan untuk melihat kanak-kanak bergelut dengan sesuatu yang boleh dicegah atau dikawal,” katanya.
Bagi mengurangkan pendedahan kepada alergen, beliau menyarankan ibu bapa menggunakan sarung kalis hama habuk, vakum dengan kerap menggunakan penapis HEPA, elak terdedah kepada asam, uruskan alergen haiwan peliharaan, perkenalkan makanan berisiko cetus alahan antara usia empat hingga enam bulan dengan bimbingan doktor serta elakkan pewangi atau bahan kimia yang boleh merengsakan saluran pernafasan sensitif.
Dr Noor Zehan turut menangkis salah faham mengenai alahan termasuk kepercayaan bahawa kanak-kanak akan sembuh secara semula jadi seiring usia, dan pada masa sama memberi jaminan bahawa penggunaan inhaler tidak mendatangkan ketagihan.
“Inhaler tidak menyebabkan ketagihan. Ia adalah alat penting yang boleh membantu kanak-kanak bernafas dengan lebih mudah dan sihat. Apabila keadaan bertambah baik, pergantungan kepada ubat boleh dikurangkan secara beransur-ansur,” katanya.
Beliau berkata pengurangan pendedahan kepada jangkitan semasa era pandemik secara sementara melegakan simptom pernafasan tetapi ia juga mengehadkan peluang membina sistem imuniti, menjadi mereka lebih terdedah selepas COVID-19.
Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya mencari keseimbangan dengan memperkenalkan semula kepada pelbagai persekitaran sambil mengekalkan kebersihan yang boleh membantu membina semula ketahanan, mengenal pasti potensi alergen serta menggalakkan pemeriksaan pediatrik secara berkala bagi pengesanan dan rawatan awal.
“Tahun-tahun awal adalah penting untuk kesihatan jangka panjang. Sentiasa mencari maklumat, ambil tindakan, dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat perubatan. Setiap langkah yang anda ambil sekarang akan membantu anak anda menjalani kehidupan lebih sihat dan bahagia,” katanya.
-- BERNAMA