SUKAN

Isu Pemain Warisan: Alasan Bertulis FIFA Cetus Persoalan Peranan Rob Friend Dalam FAM

18/11/2025 10:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Persoalan timbul mengenai peranan sebenar Rob Friend bersama pasukan kebangsaan susulan butiran yang didedahkan dalam alasan bertulis Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, berkaitan kes dokumentasi pemain warisan negara.

Kenyataan FIFA itu mendedahkan Friend menjelaskan beliau berkhidmat sebagai perunding kepada FAM, berpangkalan di Kanada dan berulang-alik ke Malaysia pada hari perlawanan, walaupun laporan di Malaysia mengatakan beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Apa yang mengejutkan ialah beliau (Friend) tidak menafikan laporan yang diterbitkan secara meluas, dengan mengatakan beliau telah dilantik sebagai CEO.

Bekas pemain Kanada itu turut menyatakan peranannya adalah untuk membantu projek pasukan kebangsaan, terutamanya menambah baik bidang jurulatih dan kakitangan teknikal.

“Beliau menyatakan bahawa semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan secara langsung oleh FAM di Malaysia dan beliau ditugaskan untuk membantu dalam proses berkenaan sejak ia dibuka pada 22 Ogos 2025.

“Beliau menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam sebarang proses sehingga tarikh yang disebut,” menurut kenyataan itu.

Pada 22 Ogos, Jawatankuasa Rayuan FIFA memaklumkan prosiding tatatertib dibuka terhadap FAM dan enam pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Pada 28 Ogos, jawatankuasa itu memaklumkan prosiding tatatertib dibuka terhadap Hector Hevel atas kemungkinan pelanggaran yang sama.

Pada 3 Nov, FIFA menolak rayuan FAM dan ketujuh-tujuh pemain warisan berkenaan.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan penalti yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk dunia itu terhadap FAM dan ketujuh-tujuh pemain naturalisasi berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 FDC.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000), dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492410