POLITIK

PRN Sabah: Beri Peluang PH, Rakan Sekutu Bentuk Kerajaan Negeri

18/11/2025 11:15 PM

KOTA KINABALU, 18 Nov (Bernama) -- Rakyat Sabah diharap terus memberikan peluang kepada Pakatan Harapan (PH) dan rakan sekutunya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, bagi memastikan lebih banyak pembangunan yang dijanjikan sebelum ini dapat ditunaikan.

Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, banyak perkara telah dicapai dan ditunaikan di Sabah oleh PH sebagai pemerintah pada peringkat Persekutuan.

Beliau berkata ia termasuk menyelesaikan sembilan perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), meningkatkan pemberian wang interim kepada Sabah dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan seperti sekolah untuk kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Ini bukan kita nak mendabik dada. Kita mahu maklumkan fakta sebab bila fasa pertama sudah siap (pembangunan sekolah dan projek lain), kita minta berilah peluang gandingan untuk fasa seterusnya bagi (bolehkan PH dan rakan sekutu) menunaikan semua yang lain kerana banyak lagi yang diperlukan oleh Sabah,” katanya. 

Nurul Izzah berkata demikian pada program Ceramah Kelompok Petagas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tengah Padang Petagas di sini malam ini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dan calon PH dari PKR Datuk Awang Husaini Sahari.

Walaupun rakyat kini terdedah dengan pelbagai maklumat di media sosial, beliau berharap mereka dapat menilai dengan sebaiknya pencapaian PH, berdasarkan rekod sedia ada.

“Hanya orang Sabah yang boleh pilih corak masa hadapan mereka untuk lima tahun akan datang. Pada saya, perkara ini serius, melangkau apa sahaja kempen yang kita buat kerana akhirnya kita sendiri pilih. 

“Mahu pilih masa hadapan yang bagaimana? Kalau (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim buat, mahu tawarkan (pembangunan), sudah tentu kita mahu penerusan. Tidak mahu reset balik kepada kosong,” katanya.

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N23: PETAGAS: SABAH: 20,116

 

1. Aslin Samat                                   (PIS)

2. Sabreezani Sabdin Ghani            (Anak Negeri)

3. Dr Mohd Afifi Shaiffuddin            (PN-PAS)

4. Lee Nyuk Soon @ Jason Lee      (UPKO)

5. Patrick @ Peter Manius               (Bebas)

6. Datuk Awang Husaini Sahari     (PH-PKR)

7. Datuk Awang Ahmad Sah          (Bebas)

8. Adelaide Cornelius                      (KDM)

9. Annita Shiela F.Among               (STAR)

10. Datuk Uda Sulai                         (Warisan)

 

(2020: Datuk Awang Ahmad Sah: Warisan Plus-Warisan: Maj: 261)

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492424