Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Dari hiruk-pikuk bandar moden, padang pasir seakan di Timur Tengah dan bandar beriklim sejuk dengan pemandangan ala Eropah, pengembaraan penulis ke tiga bandar di selatan Vietnam awal bulan lalu bagaikan meneroka tiga negara berbeza
Menelan kos sekitar RM1,500 seorang, perjalanan enam hari itu dimulai di Ho Chi Minh City, diteruskan ke Mui Ne dan diakhiri di Da Lat, memberi 1,001 pengalaman manis dalam suasana berbeza.
Kalau dulu, Ho Chi Minh City lebih sinonim sebagai syurga beli-belah, Sungai Mekong dan bandar bersejarah yang menjadi saksi era Perang Vietnam, kini kota ini menampilkan sisi baharu dengan pertumbuhan ruang kreatif dan kafe moden yang menarik perhatian generasi muda.
Tempat-tempat tumpuan termasuk sebuah lorong khusus untuk buku dengan kedai-kedai kecil dan ruang membaca terbuka yang menawarkan suasana santai di tengah bandar, dikenali sebagai Book Street.
Konsep sebegini bukanlah baharu di Asia, namun tarikan ini menonjol kerana gabungan reruai moden, ruang rehat terbuka dan lokasi strategik di pusat bandar, menjadikan lokasi ini persinggahan mudah bagi pelancong, khususnya yang meminati suasana hipster.
pic-2
Bagi pemburu kafe pula, mereka boleh mencuba pengalaman “mengopi” di negara yang terkenal dengan budaya kopi unik seperti kopi telur ini, sama ada duduk di bangku plastik kecil di kaki lima atau di kafe moden dengan hiasan mempesona seperti The Cafe Apartment dan Mê Coffee.
“Tidak ada alkohol dalam minuman kami. Cuma susu, kopi dan sirap gula,” kata barista ketika penulis bertanya tentang kandungan minuman yang mahu dibeli bagi memastikan ia pilihan selamat sebagai Muslim.
Meneruskan pengembaraan dengan menaiki bas katil (sleeper bus) selama tiga jam 30 minit, penulis tiba di Mui Ne yang mendapat julukan “Sahara Vietnam” kerana tarikan bukit pasir seakan padang pasir di Timur Tengah, dikenali White Sand Dunes dan Red Sand Dunes.
Dari hotel di Phan Thiet (sebuah bandar pelancongan), penulis bergerak dengan pemandu pakej jip berharga 600,000 VND (RM95) untuk menjelajah empat tarikan termasuk Fishing Village dan Fairy Stream bermula 4 pagi hingga 10 pagi.
pic-3
Menjelang matahari terbit sekitar 5 pagi, kawasan itu mula dipenuhi pengunjung dan walaupun kawasan bukit pasir tersebut tidaklah seluas padang pasir sebenar, formasi semula jadinya yang unik menjadikan kawasan ini latar untuk bergambar yang cukup menarik.
“Padang pasir di sini sebenarnya terbentuk daripada pasir pantai. Angin bawa masuk perlahan-lahan sampai terbentuk bukit pasir macam ini. Di Asia Tenggara memang susah nak jumpa,” kata seorang pemandu jip dalam bahasa Vietnam yang diterjemah oleh aplikasi terjemahan.
pic-4
Meskipun meluangkan masa kurang 24 jam, pemandangan melihat matahari terbit di situ merupakan satu kenangan indah yang berbaloi dan menjadi detik yang amat berharga dalam perjalanan singkat ini, dan secara peribadi penulis berpendapat menghabiskan masa di White Sand Dune sahaja sudah memadai.
Pengembaraan diteruskan ke tanah tinggi Da Lat yang mengambil masa empat jam 40 minit. Jika sebelum itu penulis berada di “gurun”, lokasi ini pula membawa penulis seperti berada di Cameron Highlands dengan suhu nyaman 18 hingga 26 darjah Celsius.
pic-5
Namun berbeza dengan Cameron Highlands, bandar yang digelar “The Little Paris” ini mempunyai keluasan lebih tujuh kali ganda, populasi lebih ramai dan pelbagai kemudahan seperti universiti, hospital malah lapangan terbang antarabangsa sendiri.
Selain menawarkan pelbagai taman bunga dengan landskap yang luas, di sini juga terdapat pelbagai taman hiburan seperti ditawarkan di Datanla Alpine Coaster, Mongo Land dan Flower Highland meliputi aktiviti trek coaster, gelongsor gergasi dan luge (kereta luncur) yang mencabar adrenalin tetapi mesra keluarga.
pic-6
Kafe di sini juga dijadikan antara produk pelancongan utama dengan landskap dan hiasan unik termasuk berlatarkan air terjun semula jadi untuk dinikmati pengunjung yang dikenakan bayaran masuk berserta pakej makanan atau air sekitar 100,000 VND (RM15).
pic-7
"Kalau ada rezeki, saya mahu datang semula melancong ke Da Lat untuk 'staycation' pula, banyak rumah inap yang terletak di lokasi pedalaman menawarkan pemandangan alam semula jadi," kongsi rakan pengembara penulis yang teruja dan belum puas menjelajah kota seribu bunga itu.
-- BERNAMA