KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merangkap Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Koordinator Malaysia bagi Strategic Intelligence, World Economic Forum (WEF) Representative, berkuat kuasa 24 Okt.
Menurut kenyataan dikeluarkan WTCKL, surat lantikan rasmi disampaikan kepada Irmohizam semalam, oleh Pengasas Bersama Strategic Intelligence Profesor Henrik von Scheel yang kini berada di Malaysia sebagai sebahagian daripada siri lawatan rasmi beliau.
Kenyataan itu memaklumkan pelantikan tersebut mengiktiraf kepakaran dan kepimpinan Irmohizam dalam memajukan rangkaian perdagangan, mempromosikan diplomasi ekonomi dan memacu pembangunan strategik pada peringkat antarabangsa.
“Bidang ini semakin penting memandangkan kuasa ekonomi global terus beralih ke Asia.
“Peranan beliau akan meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam dialog strategik, inovasi dan kerjasama ekonomi antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, Strategic Intelligence merupakan organisasi berpengaruh yang membentuk agenda masa depan global termasuk Revolusi Perindustrian Keempat, selain menyediakan analisis strategik, rangka kerja dasar dan laporan kepada institusi terkemuka seperti WEF selama lebih dua dekad.
Sementara itu, Irmohizam berkata pelantikan itu sebagai motivasi untuk beliau memperkukuh kedudukan Malaysia dalam platform ekonomi dan teknologi antarabangsa.
“Saya bersyukur dan berbesar hati dengan peluang diberikan. Pelantikan ini bukan sahaja pengiktirafan peribadi tetapi tanggungjawab penting untuk memastikan Malaysia terus menonjol sebagai pusat pemikiran, inovasi dan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata pelantikan itu juga mengukuhkan kedudukan WTCKL dan WTCA dalam ekonomi antarabangsa, sejajar dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab terkemuka dalam aktiviti ekonomi serta inovasi di Asia.
-- BERNAMA