ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (Bernama) -- Tanah Perkuburan Islam (TPI) kerajaan di kawasan bandar dan pinggiran bandar Johor kini berada pada kadar penggunaan antara 80 hingga 95 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.
Beliau berkata berdasarkan data terkini Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), terdapat tiga tanah perkuburan Islam besar yang hampir penuh iaitu Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Sungai Danga dan Taman Impian Emas di Johor Bahru.
Mohd Fared berkata Bukit Alif kini 95 peratus penuh dengan baki 20 liang, Sungai Danga turut 95 peratus penuh dengan baki 100 liang (khusus ahli kariah), manakala Taman Impian Emas mencapai 80 peratus penggunaan dengan baki kira-kira 600 liang.
“Bagi menampung keperluan semasa, beberapa tapak tanah perkuburan Islam kerajaan yang baharu telah dicadang untuk dibangunkan antaranya TPI Bukit Rodziah, Gelang Patah seluas 10.26 ekar yang sedang dalam projek pembangunan di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berjumlah RM1.8 juta.
“Selain itu, TPI Taman Setia Eco Garden seluas 5.08 ekar yang sedang dalam projek pembangunan berjumlah RM1.5 juta, yang di sumbang oleh Pemaju UEM Sunrise Sdn Bhd dan dijangka siap pada tahun 2026,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) dan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) mengenai apakah pelan dan perancangan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan tanah perkuburan Islam di kawasan bandar mencukupi.
Mohd Fared turut memaklumkan bahawa terdapat perancangan yang akan dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), untuk membangunkan tanah perkuburan Islam di kawasan utara Stadium Mount Austin berkeluasan 12.03 ekar dengan bajet peruntukan sebanyak RM5.8 juta.
Menyentuh mengenai perancangan jangka panjang, beliau berkata kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan JAINJ, kini melaksanakan Pelan Induk Perkuburan Islam Negeri Johor bagi memenuhi keperluan tanah perkuburan.
Beliau berkata pelan itu, melibatkan perkara meliputi Kajian Kapasiti dan Unjuran 10 hingga 15 tahun; penyediaan tapak baharu; dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju.
“Kerajaan negeri melalui JAINJ, PBT, dan agensi pemaju telah menggariskan pelan menyeluruh bagi memastikan keperluan tanah perkuburan Islam sentiasa terjamin, selaras dengan pertumbuhan demografi dan pembangunan negeri Johor,” katanya.
-- BERNAMA