LABUAN, 19 Nov (Bernama) -- Terminal Feri Ro-Ro Labuan akan melaksanakan sistem tiket baharu dan dinaik taraf bermula 1 Dis bertujuan menyediakan pengalaman perjalanan lebih mudah dan fleksibel kepada penumpang.
Pengurus Labuan Point Enterprise Robert Ling Song Shieng berkata sistem itu direka untuk membolehkan penumpang menukar waktu perjalanan tanpa perlu beratur di kaunter yang menawarkan lebih fleksibiliti terutamanya pada waktu puncak perjalanan.
Beliau berkata naik taraf itu juga selari dengan pelaksanaan baharu e-invois oleh kerajaan, membolehkan proses digital dilaksanakan lebih lancar serta menambah baik penyimpanan rekod kepada operator dan penumpang.
Ling menjelaskan peruntukan bagi tiket dalam talian kekal terhad antara 30 hingga 40 peratus daripada jumlah kapasiti.
“Ini kerana ruang feri tidak tetap seperti pesawat penumpang. Muatan sebenar bergantung kepada saiz kenderaan yang berbeza, iaitu daripada kereta sehingga kepada lori dan treler, dengan kami mesti memastikan keselamatan serta pemuatan yang optimum,” katanya.
Selain itu, Ling berkata syarikat tersebut juga memohon maaf atas kesulitan dialami penumpang akibat kesesakan di terminal baru-baru ini, ekoran sistem pembelian tiket dalam talian dihentikan sementara sehingga mereka perlu beratur di kaunter.
Keadaan bertambah buruk disebabkan permintaan tinggi untuk pembelian awal tiket menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 Nov selain perjalanan pulang pada musim cuti sekolah dan Hari Krismas.
Beliau berkata syarikat menjangkakan peningkatan antara 9,000 ke 10,000 pengembara untuk hari pengundian dengan jumlah itu berganda dalam tempoh cuti sekolah dan Krismas.
Sehubungan itu, beliau berkata bermula esok, syarikat tiket akan menyediakan kerusi dan khemah di belakang bangunan Jabatan Laut, bertentangan kaunter tiket kepada mereka menunggu giliran membeli tiket.
“Penumpang akan diberi nombor giliran dan boleh menunggu dengan selesa tanpa beratur panjang. Ini sebahagian langkah segera kami untuk menguruskan penumpang serta memastikan keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.
Ling berkata sistem baharu itu dijangka dapat mengurangkan transaksi manual dengan ketara dan menambah baik aliran penumpang di terminal.
Perkhidmatan feri Ro-Ro Labuan kekal sebagai pengangkutan penting antara pulau dan tanah besar Sabah selain menyokong perjalanan, perdagangan dan logistik terutamanya semasa musim puncak.
-- BERNAMA