PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan tiga sarjana sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua tahun bermula 1 Dis ini.
Mereka ialah Prof Dr Shahanum Md Shah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat, Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, New Zealand dan Prof Dr Indirawati @ Indrawati Zahid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University, China.
Watikah pelantikan mereka disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan KPT, pelantikan Shahanum, 60, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), membuktikan pengiktirafan terhadap kepakaran beliau sebagai sarjana terkemuka dalam bidang pendidikan muzik.
Shahanum memiliki Doktor Falsafah dalam Pendidikan Muzik (Ethnomusicology and Administration) dari Indiana University pada 2000, dan pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk Penolong Naib Canselor Kolej Seni Kreatif (2022–2024) serta Dekan pertama Fakulti Muzik.
KPT berkata keupayaan akademik Shahanum terserlah melalui National Band Figure Award (2023) dan penghasilan Graded Music Examination for Malay Traditional Music (2017) yang menjadi rujukan dalam pemartabatan muzik tradisional Malaysia.
Sementara itu, pelantikan Kartini, 51, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membawa pengalaman luas dalam bidang dasar awam dan etnik.
Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM sejak 2015 dan memiliki Doktor Falsafah dalam Law, Policy and Society dari Northeastern University, Amerika Syarikat.
KPT memaklumkan kepakaran beliau diperkukuh melalui penglibatan sebagai perunding pelbagai inisiatif perpaduan kebangsaan dan jemputan sebagai penceramah di Amerika Syarikat, Jerman, Switzerland, China, United Kingdom, Indonesia dan Perancis.
Beliau pernah dilantik Country Consultant for Malaysia for the United Nations Entity for Gender Equality and the Empowerment of Women pada 2014 serta menghasilkan sembilan kertas dasar nasional, selain menjadi komentator dalam dan luar negara termasuk di BBC, Al Jazeera, Channel News Asia dan South China Morning Post.
“Pelantikan ini diyakini akan memperkukuh peranan Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington sebagai medium diplomasi intelektual yang mengangkat naratif Malaysia dan Nusantara,” menurut kenyataan itu.
Indirawati, 59, dari Universiti Malaya (UM) pula merupakan tokoh berpengaruh dalam bidang fonologi dan pengajian Melayu serta kini memegang jawatan Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi) di Akademi Pengajian Melayu.
Beliau memiliki Doktor Falsafah dalam Fonologi dari UM pada 2003 dan dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024, selain berpengalaman sebagai pensyarah dan profesor pelawat di China, Rusia dan Indonesia.
Menurut KPT, Indirawati memainkan peranan penting dalam penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou, dan pelantikan itu turut mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Secara keseluruhannya, pelantikan ketiga-tiga sarjana ini akan memperkukuh pengajian Asia Tenggara, Malaysia dan Melayu di peringkat dunia serta meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA