PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan tiga lelaki warga Jepun semalam, kerana disyaki cuba menyeludup masuk dadah dipercayai kokain seberat 12 kilogram dianggarkan bernilai RM2.4 juta.
AKPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semua lelaki itu baru tiba dari Bangkok, Thailand melalui penerbangan MH0781.
“Kejadian berlaku pada 1.45 pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, apabila pegawai AKPS mengesan imej mencurigakan melalui mesin imbasan bagasi.
“Semasa pemeriksaan fizikal ke atas satu daripada enam bagasi dan beberapa beg galas, pegawai menemukan bahan dipercayai kokain diselindungkan dengan menutup bungkusan menggunakan ikan bilis dan udang kering serta dibungkus secara vakum,” menurut AKPS.
Pemeriksaan keseluruhan mengesahkan semua enam bagasi itu mengandungi dadah jenis kokain yang menggunakan kaedah penyamaran sama.
AKPS memaklumkan kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA