AM

Simposium Bakat Halal 2025 Perkukuh Pembangunan Profesional Halal Antarabangsa

19/11/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Simposium Bakat Halal 2025 anjuran Halal Development Corporation (HDC) Berhad hari ini membuka platform perkongsian pengetahuan, pengalaman dan idea ke arah melahirkan generasi profesional halal bertaraf antarabangsa.

Menurut HDC, penganjuran simposium itu merupakan usaha berterusan bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja halal berkemahiran tinggi, kompeten dan berdaya saing dalam menyokong pertumbuhan industri halal negara.

Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari dalam ucapannya  berkata pembangunan bakat halal bukan bergantung kepada latihan teknikal semata-mata, tetapi turut menekankan etika, nilai profesionalisme dan kecekapan global agar tenaga kerja Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Simposium ini menjadi platform penting bagi menyatukan pemain industri, institusi latihan dan agensi kerajaan untuk membentuk hala tuju bersama dalam memperkukuh kebolehpasaran bakat halal. HDC percaya, pembangunan tenaga kerja yang kompeten menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi halal negara,” katanya dalam kenyataan.

Simposium bertemakan “Memacu Profesional Halal ke Arah Kecemerlangan Global” itu menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada pemain industri, eksekutif halal, penyedia latihan halal, institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan.

Program sehari itu menampilkan empat sesi perbincangan utama dengan penyertaan panel daripada pelbagai institusi dan agensi terkemuka termasuk Maybank Islamic Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Quanterm Logistics, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut kenyataan itu, perbincangan meliputi pelbagai aspek penting pembangunan modal insan halal, antaranya strategi melahirkan profesional halal masa hadapan yang beretika dan berdaya saing, penerokaan peluang kerjaya dalam ekosistem halal, pemerkasaan industri melalui penyelidikan serta pengkomersialan inovasi, dan pematuhan piawaian antarabangsa bagi melahirkan bakat halal bertaraf global.

Sesi pertama bertajuk “Membentuk Profesional Halal Masa Hadapan” menampilkan Penyelaras Hal Ehwal Halal Jabatan Perdana Menteri Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff, yang berkongsi pandangan mengenai hala tuju strategik pembangunan kapasiti bakat halal negara termasuk aspirasi penubuhan sebuah badan profesional bagi mengiktiraf dan mendaftar pakar serta profesional halal di Malaysia.

Menurut HDC, simposium ini turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan bagi memastikan graduan halal lebih bersedia memenuhi permintaan sebenar pasaran kerja, sekali gus mengurangkan jurang antara latihan dan keperluan industri.

Selain forum dan sesi panel, Simposium Bakat Halal 2025 turut menampilkan Pameran Digital yang mempamerkan hasil penyelidikan, inovasi dan kerangka pembangunan komuniti pengamal halal (Halal Community of Practice Framework) oleh HDC dan universiti tempatan.

Simposium itu diharap menjadi platform tahunan memperkukuh dialog strategik antara pemegang taruh ke arah melahirkan tenaga kerja halal berkualiti tinggi, berdaya tahan dan berpengiktirafan global.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492846