Daripada Saraswathi Muniappan
ADDIS ABABA (Ethiopia), 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan berbincang dengan rakan sejawatnya Dr Abiy Ahmed Ali tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempermudah dan mempercepat kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Ethiopia.
“Para menteri, agensi pelaburan dan komuniti perniagaan peringkat tinggi masing-masing dari kedua-dua negara berada di sini.
“Kita mesti melakukan apa sahaja yang perlu. Dan saya fikir saya akan membincangkan (tentang) ini, dan saya pasti akan mengulanginya dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Abiy,” kata beliau pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia yang dihadiri kira-kira 200 wakil perniagaan di sini.
Sebanyak 54 syarikat dari Ethiopia menyertai forum tersebut merangkumi 22 daripada sektor perkilangan, 29 daripada sektor perkhidmatan dan tiga agensi kerajaan.
Forum itu juga disertai lebih 70 wakil perniagaan dari Malaysia.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Ethiopia Taye Atske-Selassie Amde, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pelaburan Ethiopia Zeleke Temesgen dan Menteri Perdagangan dan Integrasi Serantau Ethiopia Kassahun Gofe.
Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata proses tersebut perlu dipercepatkan bukan sahaja kerana Ethiopia memainkan peranan yang sangat penting di rantau ini, atau kerana ibu pejabat Kesatuan Afrika berada di sini, tetapi kerana negara itu menawarkan potensi dan pembaharuan yang sangat besar yang menjadikannya menarik untuk pelaburan.
Terdahulu dalam ucapannya, Taye Atske-Selassie, yang mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kejayaan kepengerusian ASEAN pada 2025, berkata kedua-dua Malaysia dan Ethiopia sedang melakar laluan baharu.
"Kita bertemu di dunia, persekitaran, geoekonomi dan geopolitik yang berbeza. Kita berada di sini untuk menilai semula dan berkolaborasi dalam hubungan ekonomi bagi realiti baharu ini yang menuntut negara-negara menjalin perkongsian yang lebih bermakna," katanya.
Beliau berkata Ethiopia telah melakukan pembaharuan dalam program berkaitan perniagaan, perdagangan dan persekitaran pelaburannya.
"Pertamanya, kami telah memperkasakan ekosistem pelaburan kami. Kami mempunyai rangka kerja kawal selia yang progresif yang meletakkan kami di barisan hadapan dalam ketersambungan," katanya.
Taye Atske-Selassie berkata negara itu juga sedang membuka sektor strategiknya, terutamanya dalam sektor pertanian dengan usaha sedang dijalankan untuk memastikan keterjaminan makanan.
Menurutnya, ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara itu yang memihak kepada Malaysia bukanlah satu masalah, sebaliknya menyediakan peluang yang besar.
"Kami tidak melihat ketidakseimbangan ini sebagai satu masalah. Kami melihatnya sebagai peluang yang besar. Kami menjemput anda untuk melabur, membuat pengeluaran dan menjadi makmur di sini," katanya.
Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM625.6 juta, dengan eksport dari Malaysia bernilai RM579.9 juta, meningkat 50 peratus daripada tahun sebelumnya.
Eksport Malaysia ke Ethiopia terutamanya terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, kimia dan produk kimia serta tekstil, pakaian dan kasut manakala import dari Ethiopia termasuk produk pertanian, peralatan pengangkutan dan bijih logam serta skrap logam.
-- BERNAMA