PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Bhd (Sekatarakyat) memeterai kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Bhd melalui penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM2 bilion, sekali gus menandakan kemasukan sulung koperasi itu dalam pasaran modal patuh syariah.
Program sukuk dengan tempoh sehingga 30 tahun itu merupakan langkah penting Sekatarakyat bagi mencapai objektif pertumbuhan dan kemampanan kewangan jangka panjangnya.
Pengerusi Sekatarakyat Datuk Mohamed Arsad Sehan berkata cadangan penerbitan program sukuk itu bertujuan memaksimumkan pulangan kepada anggota Sekatarakyat dan memperluas perniagaan patuh Syariah koperasi berkenaan, selain memperkukuh modal kerja dan memenuhi keperluan korporat am.
“Sebahagian besar dana yang diperoleh itu dijangka digunakan untuk pembangunan perniagaan ar-Rahnu.
“Kami mempunyai sebanyak 17 kedai ar-Rahnu dan pelan segera, tiga lagi ar-Rahnu akan dibuka pada tahun depan, tertakluk kepada kelulusan yang akan kami peroleh daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” katanya kepada media pada majlis menandatangani Perjanjian Program Sukuk Sekatarakyat di sini hari ini.
Pemeteraian perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan - Perbankan Institusi Bank Islam Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir bersama Mohamed Arsad.
Mohamed Arsad berkata koperasi juga bercadang untuk menggunakan dana diperoleh daripada penerbitan sukuk itu untuk menceburi perniagaan baharu dalam sektor hartanah dan menambah pembiayaan untuk anggota Sekatarakyat.
Sementara itu, Sharifah Sarah berkata Perjanjian Program Sukuk itu dimeterai menerusi Syarikat Bertujuan Khas (SPV), Sekata Capital Sdn Bhd (Sekata Capital) dan Bank Islam memainkan peranan sebagai penasihat utama dan pengatur utama dalam cadangan penerbitan program sukuk itu.
“Kami merakamkan setinggi penghargaan kepada Sekatarakyat atas kepercayaan yang diberikan kepada Bank Islam untuk mengatur cadangan penerbitan sulung program sukuk ini.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak malah, menegaskan peranan Bank Islam sebagai pemangkin utama dalam pembangunan pasaran modal Islam yang inklusif dan berimpak tinggi.
“Sebagai pengatur utama, kami komited untuk menyediakan struktur kewangan patuh Syariah yang inovatif, memastikan akses kepada pelabur institusi dan menyokong aspirasi Sekatarakyat untuk memacu pertumbuhan dan kemampanan jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA