EKONOMI

Wasco Greenergy Sasar RM75 Juta Daripada IPO

20/11/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Wasco Greenergy Bhd, yang dijadualkan untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia berhasrat mengumpulkan RM75 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

Kumpulan itu menjelaskan daripada hasil tersebut, RM38.2 juta akan digunakan untuk pengembangan inisiatif perniagaan, penyelidikan dan pembangunan tenaga boleh baharu (RM4.0 juta) serta pembangunan infrastruktur digital melalui analisis kecerdasan buatan (RM5.0 juta).

Sejumlah RM12.5 juta daripada hasil akan diperuntukkan ke arah penambahbaikan dan peningkatan kemudahan operasi, pengembangan operasi di Indonesia (RM5.5 juta) termasuk perbelanjaan penyenaraian (RM9.8 juta).

Ketua Pegawai Operasi Wasco Greenergy, Lee Yee Chong ketika mengulas mengenai perkembangan operasinya di Indonesia berkata syarikat itu merancang untuk menambah dua lagi cawangan, menjadikan jumlahnya kepada empat cawangan di negara ini.

Cawangan tambahan ini adalah penting bagi memacu perkhidmatan selepas jualan kumpulan, meningkatkan masa akses dan tindak balas untuk pelanggannya di Indonesia. 

Syarikat itu juga sedang meneroka peluang untuk memasuki industri gula yang berkembang pesat Indonesia.

"Terdapat lebih banyak biojisim gula (perniagaan) di sana, (tetapi) tentu saja, kami akan mengkaji sama ada ini merupakan kawasan yang patut terokai.

"Sekiranya kami mempunyai sumber daya, kami ingin melihat tapak-tapak gula berkenaan tetapi tentu saja, minyak sawit (pasaran) sentiasa menjadi kekuatan teknikal utama syarikat," katanya kepada media semasa majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini.

Berdasarkan harga terbitan RM1.00 sesaham serta modal saham yang diperbesarkan sebanyak 500 juta saham, Wasco Greenergy dijangka mencapai permodalan pasaran sebanyak RM500 juta apabila disenaraikan.

Bersempena dengan pelancaran itu, tempoh permohonan untuk tawaran runcit dibuka hari ini dan akan ditutup menjelang 5 petang, 28 November 2025. 

Wasco Greenergy merupakan bahagian tenaga boleh baharu dalam kumpulan syarikat Wasco Bhd, yang mengkhususkan diri dalam sistem tenaga stim biojisim, penjana stim pemulihan haba, sistem penjana turbin stim, sistem tenaga stim gas yang lain dan peralatan pemprosesan minyak sawit.

CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) adalah penasihat utama dan pengurus penaja jamin, dengan CIMB IB dan Maybank Investment Bank Bhd berkhidmat sebagai penyelaras bersama dan penaja jamin bersama bagi IPO ini. 

 CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd turut bertindak sebagai penyelaras bersama IPO.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493087