TOKYO, 20 Nov (Bernama) -- Hasrat dua pemain boling wanita negara, Siw Sing Hie dan Siong Mui Hong untuk menghadirkan kilauan pingat emas pertama buat Malaysia di temasya Deaflympics 2025 di Tokyo tidak kesampaian selepas tersingkir pada pusingan kedua acara singles wanita, hari ini.
Acara yang berlangsung di Higashiyamato Grandbowl menyaksikan Sing Hie dan Mui Hong masing-masing mencatatkan 912 jatuhan pin (enam mata) dan 854 jatuhan pin (tiga mata), sekali gus menamatkan cabaran di tempat keempat dan kelima daripada enam peserta dalam Kumpulan C.
Mereka ketinggalan di belakang juara kumpulan, Zhukova Anzhelika dari Ukraine (15 mata, 1,062 jatuhan pin), atlet Singapura Yokoyama Adelia Naomi (12 mata, 1,010 jatuhan pin) dan Kovalchuk Kateryna dari Ukraine (sembilan mata, 965 jatuhan pin).
Mui Hong berkata kesukaran menyesuaikan diri dengan keadaan landasan menyukarkan mereka untuk mencatat keputusan terbaik.
“Ada sikit kesukaran sebab lorong ni ada ‘oiling’ lebih tebal, jadi licin. Kita dah cuba buat penyesuaian tapi tak boleh nak jangka apa yang berlaku.
“Kalau untuk hari ini tak apa, kita tutup buku. Kita akan fokus yang ke hadapan iaitu acara doubles,” katanya menerusi jurubahasa isyarat kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengikut format pertandingan, setiap atlet akan bermain lima permainan dalam format round-robin dan diberikan tiga mata untuk kemenangan serta satu mata untuk seri serta seorang pemenang daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Mui Hong berkata mereka akan menumpukan perhatian pada acara doubles yang dijadualkan pada Sabtu ini dengan sasaran untuk mara ke final dan membawa pulang pingat buat negara.
“Kami pernah bermain bersama di Deaflympics Brazil dalam acara berkumpulan selain pernah menjuarai emas di peringkat Sukan SEA Pekak Jakarta 2025,” katanya.
Bagi acara doubles, semua pasangan akan bermain enam permainan dalam pusingan pertama dan 24 pasukan terbaik akan mara ke pusingan kedua sebelum pasangan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke separuh akhir.
-- BERNAMA