BUTTERWORTH, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas minuman keras bernilai RM2.71 juta termasuk cukai yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Barat Klang, Selangor pada bulan lepas.
Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata rampasan itu hasil pemeriksaan sepasukan pegawai Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang ke atas tiga kontena yang ditahan ketika tiba di pelabuhan pada 16 Okt.
“Hasil pemeriksaan menemukan 116,952 tin bir import dalam kontena. Sindiket didapati membuat pengisytiharan palsu dengan mengikrarkan dagangan sebagai ammonia bikarbonat bagi mengelirukan JKDM,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Rohaizad berkata pemeriksaan mendapati kontena itu berasal dari negara di Asia Timur dan diimport oleh sebuah syarikat tempatan di Cheras, Kuala Lumpur serta dikendalikan oleh syarikat perkapalan antarabangsa yang mempunyai anak syarikat di ibu negara.
Siasatan lanjut termasuk untuk mengenal pasti pihak terlibat masih dijalankan mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52(3) dan Seksyen 52(4) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA