KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) sedang menyediakan kertas kerja berhubung pelaksanaan program peningkatan produktiviti getah yang bertujuan meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan kalangan pekebun kecil.
Dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata kertas kerja yang disediakan menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), dirangka bagi memastikan hasil jualan getah memberi pulangan melalui mekanisme sokongan harga yang lebih berkesan.
Sehubungan itu juga, RISDA telah menyambut baik hasrat untuk pelaksanaan kempen 'Buy Malaysian Latex First' (Utamakan Lateks Malaysia) yang selaras dengan usaha menggalakkan pengeluaran lateks kepada pekebun kecil.
“Usaha ini turut disokong dengan Program Pengeluaran Lateks (PROTEKS) serta Program Pemulihan Getah Terbiar (PGT) yang jelas menekankan penghasilan lateks di peringkat kebun, sekali gus menggalakkan pekebun kecil beralih kepada pengeluaran lateks yang menawarkan harga jualan lebih tinggi berbanding sekerap,” katanya.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai status semasa cadangan pelaksanaan 'Harga Getah Bermaruah' dan kebolehlaksanaannya.
Selain itu, KKDW berkata pengenaan duti atau cukai ke atas getah import melibatkan perubahan dasar semasa yang perlu mendapat kelulusan daripada pelbagai pihak sebelum dapat dilaksanakan.
“RISDA merupakan agensi pelaksana yang melaksanakan dasar dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan, khususnya berkaitan pembangunan sosioekonomi pekebun kecil serta pengukuhan sektor getah negara,” katanya.
-- BERNAMA