Oleh Rohana Nasrah
TUARAN, 23 Nov (Bernama) -- Calon muda dan muka baharu Barisan Nasional (BN) Dr Shahnon Rizal Thaijuddin berazam memperluas akses kesihatan terutama kepada golongan B40 dengan mewujudkan kemudahan klinik bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dr Shahnon Rizal, 32, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada Kursk State Medical University, Rusia berkata realiti kehidupan penduduk setempat masih menghadapi kekurangan fasiliti kesihatan serta cabaran logistik untuk ke klinik terdekat.
Beliau yang mengendalikan sebuah klinik kesihatan di Tuaran berkata jarak, ketiadaan kenderaan sendiri dan kos perjalanan menjadi antara kekangan penduduk terutama golongan berpendapatan rendah serta mempunyai masalah kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital mahupun klinik.
“Faktor geografi dan pertambahan populasi di Tuaran menyebabkan akses kesihatan iaitu ratio doktor kepada pesakit semakin meningkat. Justeru, saya ingin mendekatkan rakyat dengan fasiliti kesihatan dengan membina lebih banyak klinik kesihatan.
“Hal ini termasuk mewujudkan klinik kesihatan bergerak dan kemudahan ambulans percuma kepada rakyat yang menjadi aspirasi saya di sini,” kata anak jati Tuaran dari Kampung Baru Selaut itu kepada Bernama.
Dalam perspektif lebih besar, Dr Shahnon Rizal yang juga bekas Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri, Hospital Queen Elizabeth berkata kerajaan Sabah perlu memberi fokus melahirkan lebih ramai doktor tempatan bagi menampung keperluan hospital dan klinik di negeri itu.
Beliau berkata Sabah mempunyai bakat anak muda profesional dalam bidang perubatan yang berpotensi besar menjadi enjin perubahan ke arah mengukuhkan lagi sektor perkhidmatan kesihatan negeri.
Selain itu, Dr Shahnon Rizal berkata beliau akan menumpukan kepada usaha menambah baik infrastruktur asas termasuk jalan kampung, membaik pulih rumah daif dan memastikan setiap rumah mempunyai bekalan air.
Bagi memperkasakan sosioekonomi belia, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sabah itu optimis untuk mewujudkan lebih banyak peluang pendidikan dan pekerjaan berkualiti agar golongan belia mampu membina masa depan yang lebih stabil.
“Golongan belia sekarang adalah 'generasi sandwic’ yang menyara anak, isteri dan ibu bapa. Maka, untuk menaikkan martabat dan maruah orang muda adalah dengan memberi mereka peluang pekerjaan serta pendidikan sewajarnya,” katanya.
Pada PRN ke-17, Dr Shahnon Rizal akan berdepan saingan lima penjuru dan antara pencabar beliau ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga penyandang kerusi DUN Sulaman sejak lebih tiga dekad.
Mengenai cabaran berdepan Ketua Menteri, Dr Shahnon Rizal berkata penyertaannya dalam PRN kali ini bukan bertujuan menandingi mana-mana figura politik besar Sabah, sebaliknya mahu menawarkan pilihan baharu kepada pengundi di kawasan itu dan menyifatkan ia satu persaingan sihat.
Beliau berkata peluang tampil sebagai calon juga menunjukkan bahawa Sabah membuka potensi anak muda membina landasan bagi menyambung legasi kepimpinan terbaik untuk generasi akan datang.
Sulaman adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Tuaran selain Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N12: SULAMAN: SABAH: 18,352
1. Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-Gagasan Rakyat)
2. Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN-Bersatu)
3. Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (BN-UMNO)
4. Pajudin Nordin (PIS)
5. Mohktar Hussin (Warisan)
(2020: Datuk Seri Hajiji Noor: PN-Bersatu: Maj: 3,099)
-- BERNAMA