BAGAN DATUK, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempertingkatkan pemeriksaan kesihatan bakal jemaah haji melalui saringan yang dilaksanakan sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata saringan kesihatan untuk jemaah haji dilakukan pada setiap tahun melibatkan antaranya pemeriksaan penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.
“Kita akan teruskan (saringan kesihatan) dari segi penjagaan awal dan ini melalui beberapa saringan serta pemeriksaan yang mustahak. Jadi, perkara ini telah kita pastikan (tahap baik) dan mahu kekalkan prestasi sebegitu berbanding negara lain.
“Kita (Malaysia) antara negara yang telah memberikan pendekatan secukupnya dari segi penjagaan kesihatan bakal haji,” katanya kepada pemberita pada program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): Moh Kita Sihat yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah diambil KKM bagi memastikan bakal jemaah haji kekal cergas dan sihat sebelum ke Tanah Suci, selain jika terdapat program khusus yang dicadangkan bagi mencapai objektif itu.
Pada 21 Okt lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan Malaysia komited mematuhi syarat kesihatan baharu bagi ibadah haji musim 1447H/2026M yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan KKM kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan hanya bakal haji yang benar-benar layak dari segi kesihatan dibenarkan berangkat mengerjakan ibadah itu.
-- BERNAMA