KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Golongan belia yang membentuk sebahagian besar pengundi digesa supaya membuat kajian yang tepat dan menyeluruh terhadap setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah Steve Johnny Mositun berkata pengundi wajar menghadapi pilihan raya negeri itu dengan tenang dan fikiran yang jelas kerana ia menandakan detik penting bagi menentukan hala tuju, dengan setiap undi yang dibuang membentuk masa depan yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.
Beliau dalam kenyataan hari ini menggesa pengundi supaya tidak memilih wakil berdasarkan emosi, kemarahan atau kekecewaan yang boleh menjejaskan pertimbangan mereka, sebaliknya dipandu oleh pemikiran teliti dan bukannya dorongan yang tercetus akibat ‘gangguan media sosial’ atau dakwaan yang tidak disahkan.
“Luangkan masa untuk mengetahui latar belakang mereka, prestasi terdahulu serta nilai yang mereka perjuangkan dalam berkhidmat untuk Sabah.
“Pengundi berhak mengetahui sama ada janji yang terkandung dalam manifesto adalah realistik, praktikal dan disokong oleh niat sebenar untuk meningkatkan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut meminta supaya rakyat Sabah menolak politik kebencian yang memecahbelahkan masyarakat mengikut garis kaum, daerah, generasi atau latar belakang ekonomi, sambil mengingatkan perpaduan telah lama menjadi kekuatan Sabah.
“Pengundi muda, khususnya harus diingatkan bahawa politik wang dalam apa jua bentuk akhirnya merosakkan negeri dan melemahkan proses demokrasi kita. Jangan biarkan insentif atau rangsangan jangka pendek mempengaruhi kesejahteraan jangka panjang komuniti anda,” katanya.
Steve turut menggalakkan pengundi memilih pemimpin yang mengutamakan khidmat berbanding kepentingan peribadi dan menunjukkan konsistensi dalam komitmen mereka, sambil mengkaji setiap manifesto dengan teliti dan bertanya sama ada cadangan yang dikemukakan selaras dengan keperluan dan aspirasi sebenar Sabah.
“Keputusan kita pada hari mengundi harus dipandu oleh penilaian yang teliti, kewarganegaraan yang bertanggungjawab dan pemahaman tentang apa yang benar-benar memberi manfaat kepada negeri,” katanya.
Steve berkata beliau juga yakin golongan belia mempunyai kuasa untuk membentuk semula landskap politik Sabah dengan mengundi secara matang, mempunyai kesedaran dan berintegriti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA