GEORGE TOWN, 23 Nov (Bernama) -- Polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel selepas mengejar mereka hampir 50 kilometer dari Botanica City, Balik Pulau hingga susur keluar Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menghala Seberang Perai Selatan hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kira-kira 4.30 pagi, pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima panggilan orang awam memaklumkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kedai tayar di Botanica City.
“Berdasarkan maklumat awal, mereka dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan itu dan kemudian bertindak melarikan diri apabila pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) tiba di lokasi sebelum mengejar mereka.
“Beberapa pasukan polis turut digerakkan bagi memintas laluan kereta itu sebelum kenderaan suspek terbabas di susur keluar jambatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis berjaya menahan tiga daripada lelaki terbabit manakala seorang lagi melarikan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Azizee berkata hasil penahanan, polis merampas sejumlah barangan disyaki digunakan untuk kegiatan curi kabel dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan rangkaian jenayah itu.
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Barat Daya untuk siasatan di bawah Seksyen 379, 511 dan 186 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA