AM

Kurang 10 Peratus Tangki Septik Di Kelantan Dikosongkan Secara Berkala

23/11/2025 10:21 PM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Kesedaran pengosongan tangki septik secara berkala di Kelantan masih rendah, apabila kurang 10 peratus daripada 259,343 tangki septik tradisional dan 81,275 tangki individu di negeri ini dikosongkan mengikut jadual.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Infrastruktur Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Saizol Ismail berkata majoriti penduduk beranggapan tangki septik hanya perlu dikosongkan apabila penuh atau berlaku sumbatan, sedangkan pengosongan secara berkala penting bagi menjaga alam sekitar dan kesihatan awam.

“Jumlah pengosongan yang masih rendah ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keperluan pengurusan tangki septik secara berkala perlu ditingkatkan. 

"Masalah ini turut dipengaruhi oleh laluan masuk ke kediaman yang sempit terutama di kawasan kampung, menyukarkan lori melakukan kerja, selain kos yang agak tinggi,” katanya selepas merasmikan Sesi Libat Urus dan Taklimat Perkhidmatan Menyahenap Cemar Tangki Septik Individu Berjadual Untuk Premis dan Agensi Milik Kerajaan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Saizol berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang juga operator sistem pembentungan Kelantan, telah melaksanakan pelbagai kempen Ops Sedut (KOS) di lokasi terpilih termasuk pasar minggu, program komuniti dan kawasan tumpuan ramai.

“Selain itu, taklimat kesedaran pengosongan tangki septik juga dijalankan di masjid dan surau bagi memupuk kefahaman masyarakat serta pemberitahuan mengenai akta-akta berkaitan pengurusan sisa kumbahan,” katanya.

Beliau yakin dengan kepakaran dan sokongan IWK, serta kerjasama semua pihak termasuk Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar, usaha memodenkan sistem pembentungan di Kelantan dapat dipertingkatkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494305