EKONOMI

YTL Teroka Prospek IPP, Pusat Data Dan AI Di Afrika Selatan

24/11/2025 12:39 PM

Daripada M.Saraswathi

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Konglomerat multinasional, YTL Group sedang meneroka peluang dalam sektor penjana tenaga bebas (IPP), pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di Afrika Selatan, kata Pengarah Eksekutif YTL Power International Bhd Yeoh Keong Hann.

“Diharapkan dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi, YTL dapat mewujudkan operasi di Afrika Selatan.

“Ini merupakan bidang yang memerlukan kami meningkatkan usaha dan menjalankan penyelidikan lanjut,” katanya ketika ditanya mengenai jangka masa YTL akan memasuki pasaran Afrika Selatan.

Beliau berkata tenaga dan air adalah asas kepada pusat data dan AI, justeru penting untuk mempunyai bekalan yang stabil bagi kedua-duanya untuk sesebuah negara maju dalam bidang ini. 

“Selain tenaga, YTL juga mempunyai kepakaran dalam bidang air. Afrika Selatan mahu kami membawa kepakaran kami dalam bidang ini juga,” katanya kepada media Malaysia di Afrika Selatan.

Wessex Water yang dimiliki YTL di United Kingdom merupakan syarikat perkhidmatan air terkemuka di negara itu.

“Kami berbincang dengan mereka mengenai kemungkinan bukan sahaja membina sebuah pusat data tunggal atau membekalkan satu model bahasa yang besar, malah menawarkan penyelesaian menyeluruh yang dapat membantu Afrika Selatan,” katanya.

Yeoh berada di Afrika Selatan sebagai sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke tiga negara Afrika, iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

YTL adalah antara syarikat yang dijemput khusus oleh Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa ke G20, susulan mesyuarat antara Ramaphosa dan YTL di luar Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Mengulas mengenai mesyuarat itu, Yeoh berkata: “Sangat menggembirakan berada di Afrika Selatan sekarang bersama Perdana Menteri dan delegasi perniagaan.

“Semasa berada di Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN, kami berpeluang bertemu dengan Presiden Ramaphosa. Beliau kagum dengan kedudukan Malaysia sebagai hab AI global dan kemajuan kita dengan model bahasa tempatan kita, ILMU,” katanya.

ILMU ialah model bahasa multimodal bertaraf dunia buatan tempatan. Ia merupakan AI ciptaan Malaysia yang dilatih sepenuhnya menggunakan bahasa dan data tempatan bagi memahami budaya, konteks dan realiti harian negara ini.

“Saya fikir beliau (Ramaphosa) ingin melihat dan memahami bagaimana kami dapat membawa teknologi ini ke Afrika Selatan dan ke Selatan Global yang lebih luas, termasuk negara-negara Afrika yang lain,” kata Yeoh.

Beliau berkata ILMU dapat memahami nuansa dan konteks tempatan, malah boleh memahami ‘Manglish’ (campuran Melayu-Inggeris).

“Mereka juga amat berminat untuk melihat bagaimana kami dapat menyesuaikannya untuk mereka, contohnya, AI yang boleh bertutur dalam bahasa Zulu atau campuran bahasa Zulu dan Inggeris.

“Kami juga menunjukkan Ryt Bank kami, bank pertama di dunia yang dikuasakan AI dan mereka teruja kerana ia adalah teknologi Malaysia sepenuhnya,” katanya.

Secara keseluruhannya, Yeoh berkata lawatan ini telah menjana hasil dalam membuka peluang perniagaan yang berpotensi untuk YTL khususnya dan perniagaan Malaysia secara lebih meluas.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494427