KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK) merupakan rangka kerja transformasi bagi merealisasikan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris dan memacu negara ke arah mencapai emisi sifar bersih menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata DPKK, yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), akan memperkukuh Bursa Karbon Malaysia (BCX) serta mengintegrasikan pasaran karbon dengan Pelan Jalan Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Induk Industri Baharu 2030 (NIMP 2030), dan Akta Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata DPKK akan meletakkan asas bagi mekanisme pematuhan domestik pada masa depan, termasuk cukai karbon atau perdagangan emisi.
“Di seluruh dunia, akauntabiliti iklim sedang membentuk semula ekonomi. Karbon menjadi mata wang. Kelestarian menjadi kelebihan kompetitif.
“Hari ini, Malaysia bersedia melakukan perkara yang mustahil: menjadikan alam semula jadi sebagai aset negara, tanaman tropika sebagai juara iklim, dan pengurusan karbon sebagai kunci kesejahteraan bersama,” katanya ketika merasmikan Forum Kredit Karbon Tanaman Tropika (TCCCF) 2025 di sini hari ini.
Seiring itu, Fadillah berkata Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal dibentangkan akan memastikan integriti kredit karbon Malaysia terpelihara, dengan setiap tan karbon yang didagangkan mencerminkan impak sebenar dan boleh diukur.
Beliau turut menekankan bahawa kelapa sawit, getah, padi, buluh dan landskap hutan Malaysia bukan sekadar komoditi ekonomi, tetapi juga sink karbon hidup yang mampu menyerap emisi, memulihkan tanah dan meremajakan ekosistem.
“Jika diurus secara lestari, sumber ini boleh menempatkan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi karbon tropika – bukan hanya dalam pengeluaran, tetapi juga dalam ketahanan iklim, inovasi hijau dan tadbir urus beretika,” katanya.
Untuk memimpin peralihan ini, Malaysia memperkukuh tadbir urus, polisi dan rangka institusi, kerana kerjasama antara agensi kerajaan, universiti, institusi kewangan, rakan global dan industri adalah penting bagi mencipta penyelesaian yang disesuaikan dengan biodiversiti, tanah, landskap dan struktur sosial Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berkata forum ini mencerminkan kebijaksanaan tersebut, menggabungkan pengetahuan saintifik, wawasan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar ke dalam satu perjalanan bersama untuk Malaysia, di mana kerjasama adalah kunci kejayaan dalam ekonomi karbon tropika.
-- BERNAMA