DUNIA

PM China Seru G20 Dorong Kerjasama Antarabangsa Lebih Meluas Demi Pembangunan

24/11/2025 02:44 PM

JOHANNESBURG, 24 Nov (Bernama-CMG) -- Perdana Menteri China Li Qiang menyeru Kumpulan 20 (G20) memperluas kerjasama antarabangsa bagi bersama-sama menangani cabaran dan memacu pembangunan global.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi kedua dan ketiga Sidang Kemuncak G20 ke-20 di sini pada Sabtu dan Ahad.

Li berkata, ketika dunia berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, isu tenaga dan krisis makanan, komuniti antarabangsa perlu bersatu padu untuk mengatasinya melalui kerjasama erat.

Beliau mengesyorkan pihak-pihak berkaitan supaya mempergiat kerjasama dalam bidang perlindungan ekologi alam sekitar dan daya tahan pembangunan.

“China bersedia memperhebat kolaborasi dengan masyarakat antarabangsa dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Kunming-Montreal, selain mendorong hasil Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Li turut menyarankan supaya kerjasama dalam tenaga hijau dan transformasi adil diperkasakan, sambil menyatakan komitmen China untuk menyokong negara lain dalam memacu transformasi tenaga.

“Kerjasama keselamatan makanan juga perlu dipergiat untuk menjamin bekalan stabil.

“China bersedia bersama-sama pelbagai negara untuk mendorong pelaksanaan Inisiatif Kerjasama Antarabangsa mengenai Keselamatan Makanan Global dan menyumbang kepada usaha membasmi kelaparan serta kemiskinan,” tegasnya.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494497