JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Tolak Kemasukan Warga Asing Disyaki Bukan Pelancong Tulen

24/11/2025 03:17 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan enam warga asing disyaki bukan pelancong tulen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Timbalan Komander Operasi AKPS Bukit Kayu Hitam PPI Adam Hamidi Auliyad Mohd Amran berkata mereka terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan wanita Syria serta seorang lelaki India dan Bangladesh berusia antara 30 hingga 40-an.

“Semua individu itu diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk sama kerana disyaki bukan pelancong tulen, tidak mempunyai tujuan kemasukan yang sah serta termasuk dalam kategori warganegara tidak dibenarkan masuk ke Malaysia melalui jalan darat.

“Tiada rampasan dibuat dan tiada elemen jenayah dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata individu itu dikenakan Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494516