KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan 13 akta yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 21 Julai hingga 10 Sept lepas.
Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, sebelum memulakan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Akta-akta yang diperkenankan termasuk Akta Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025, Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025, Akta Pendidikan (Pindaan) 2025, Akta Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, dan Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025.
Selain itu, turut diperkenankan adalah Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025, Akta Racun (Pindaan) 2025, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025, Akta Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025, Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025, Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025, serta Akta Pelesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.
Johari menegaskan keperluan meningkatkan sokongan dan kesedaran masyarakat dalam menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Ingin saya maklumkan bahawa hari ini, 25 Nov, kita menyambut Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan. Marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran global terhadap isu ini,” katanya sebelum sesi soal jawab lisan bermula.
Dalam pada itu, Johari menegaskan keperluan meningkatkan sokongan dan kefahaman masyarakat bagi menangani keganasan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Semalam, Johari menggalakkan semua Ahli Parlimen memakai pakaian atau aksesori berwarna oren semasa persidangan sebagai tanda solidariti bersempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita, yang disambut setiap 25 Nov.
-- BERNAMA