AM

JAKIM Laksana Semakan Menyeluruh RUU Keluarga Islam, Fokus Nafkah Ibu Bapa Uzur

25/11/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 termasuk menilai keperluan memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa yang dalam keadaan uzur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata draf itu dijangka dibentang pada sesi Parlimen Mac tahun depan.

Beliau berkata semakan itu, yang dilakukan secara menyeluruh, dilaksana bagi memastikan peruntukan tersebut adalah selari dengan prinsip hukum syarak dan responsif terhadap realiti semasa masyarakat Islam di Malaysia.

“Semakan ini membolehkan kerajaan menilai secara lebih komprehensif sama ada peruntukan sedia ada memadai atau memerlukan penelitian lanjut.

“Pada masa ini, penyediaan draf undang-undang sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan, libat urus dengan pihak berkepentingan serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai langkah kerajaan dalam menambah baik peruntukan undang-undang keluarga Islam sedia ada bagi mewajibkan nafkah ibu bapa sebagaimana dituntut oleh hukum syarak khususnya apabila mereka dalam keadaan uzur, tidak berpendapatan atau tidak mampu menyara diri sendiri.

Mohd Na’im juga berkata kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah mengambil langkah proaktif dengan mengusahakan penggubalan undang-undang baharu iaitu RUU Mahkamah Syariah, yang memasukkan peruntukan punca kuasa lebih jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa.

“Usaha ini bertujuan memastikan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi menangani tuntutan berkaitan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya dengan lebih berkesan,” katanya.

Menyentuh mengenai mekanisme penyelarasan prinsip nafkah itu antara Persekutuan dan negeri, beliau berkata ia dilakukan melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan serta Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan Mahkamah Syariah lebih seragam dan konsisten.

Beliau berkata sesi libat urus turut diadakan bersama pihak berkepentingan mengikut keperluan bagi mendapatkan maklumat terperinci, membincangkan isu amalan di lapangan serta memastikan model peruntukan yang dirangka lebih praktikal dan boleh dilaksanakan.

Mohd Na'im juga berkata melalui mekanisme ini, JAKIM dapat menilai, menyelaras dan merangka satu peruntukan contoh atau model law yang boleh dijadikan rujukan oleh negeri-negeri.

Beliau berkata ini adalah bagi memastikan pelaksanaan, tafsiran dan amalan Mahkamah Syariah lebih selaras dan konsisten di seluruh negara.

Sementara perincian peruntukan berkenaan undang-undang itu sedang dilaksanakan, Mohd Na'im berkata JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti melaksanakan program pembangunan keluarga yang bertujuan meningkatkan literasi masyarakat serta kesedaran awam mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495017