EKONOMI

Malaysia Diiktiraf Ekonomi Digital Paling Pesat Berkembang, Sasar Capai US$39 Bilion Pada 2025

25/11/2025 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia kini merupakan ekonomi digital yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara (SEA), dengan peningkatan sebanyak 19 peratus tahun ke tahun, dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak US$39 bilion (US$1=RM4.13) tahun ini. 

Menurut edisi ke-10 Laporan e-Conomy Asia Tenggara (SEA) 2025 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, pertumbuhan ini disokong oleh penerimaan pengguna yang berterusan dan keadaan makroekonomi yang stabil, termasuk inflasi yang terkawal.

“Di peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara diunjurkan melepasi US$300 bilion dalam GMV menjelang 2025, meningkat 15 peratus tahun ke tahun dan mengatasi ramalan pertama rantau ini sebanyak 1.5 kali ganda.

“Sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia dengan populasi lebih 680 juta, Asia Tenggara telah melaksanakan pendigitalan dengan pesat sejak sedekad yang lalu, sekali gus menunjukkan daya tahan dan keupayaan pengewangan yang kukuh, walaupun terdapat halangan global seperti COVID-19, inflasi dan tekanan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Sementara itu, rakan kongsi Bain & Company Amanda Chin berkata e-dagang terus berkembang pada kadar yang bersesuaian, menjadikannya pemacu terbesar ekonomi digital Malaysia, untuk mencapai US$20 bilion menjelang 2025. 

Beliau berkata sektor itu berkembang sebanyak 21 peratus tahun ke tahun dalam GMV, kadar kedua terpantas di SEA, disokong oleh peningkatan penyatuan platform apabila pemain serantau utama memanfaatkan skala ekonomi dengan ketara, serta peningkatan perdagangan video, yang telah mengalih perhatian pengguna kepada jualan dengan geseran yang minimum. 

“Kecerdasan buatan (AI) turut berperanan penting dalam cara pengguna menyelidik dan membuat keputusan, dan bagaimana platform e-dagang memanfaatkan AI bagi cadangan produk.

“Ia semakin berkembang dan menjadi lebih pelbagai, dan kami melihatnya memainkan peranan utama dalam membina kepercayaan dan memberikan cadangan yang lebih meyakinkan,” katanya ketika pembentangan Laporan e-Conomy SEA 2025 di sini, hari ini.

Mengenai segmen pelancongan dalam talian, Chin berkata sektor itu merekodkan pertumbuhan sebanyak 91 peratus dalam GMV, iaitu yang erpantas di SEA, yang didorong oleh ketersambungan penerbangan yang lebih baik, langkah liberalisasi visa, kempen pelancongan digital berskala besar yang sedang membina momentum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, jumlah ketibaan penumpang ke Malaysia telah kembali menyamai paras pra-pandemik, manakala ketibaan pelancong asing dan perjalanan ke luar negara telah membantu mengekalkan kuasa penetapan harga yang kukuh.

“Apabila anda melihat pengusaha hotel dalam pasaran yang mendapat permintaan tinggi seperti Singapura dan Malaysia, kami telah berjaya menaikkan kadar purata kepada lebih 20 peratus, iaitu kembali kepada margin keuntungan yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada nilai keseluruhan sektor.

“Seiring dengan ketibaan tahun 2026, yang bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, terdapat pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan, termasuk kerjasama dengan platform pelancongan dalam talian utama.

“Kami memang menyasarkan sasaran ketibaan 45 juta pelancong, jadi kami amat optimis mengenai unjuran pelancongan dalam talian,” katanya. 

Mengenai perkhidmatan kewangan digital, Chin berkata segmen tersebut terus merekodkan pertumbuhan dua digit, dengan pembayaran digital dijangka mencecah US$213 bilion, meningkat 16 peratus tahun ke tahun dalam nilai transaksi kasar menjelang 2025. 

Beliau berkata momentum itu dipacu oleh perubahan pesat Malaysia ke arah pembayaran tanpa tunai, termasuk lonjakan 28 peratus dalam penggunaan pembayaran digital yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia, manakala penerimaan rentas sempadan telah berkembang dengan ketara, apabila standard DuitNow QR kini boleh beroperasi merentasi semakin banyak pasaran di SEA. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495205