POLITIK

Kem Desa Kencana Dijangka Siap 2028, Sedia Kediaman Untuk Semua Anggota - Panglima

25/11/2025 07:14 PM

Oleh NOORAZLINA JINDEH

LAHAD DATU, 25 Nov (Bernama) -- Pembinaan Kem Desa Kencana di sini yang dijangka siap pada 2028 mampu menyediakan kediaman kepada semua anggota 13 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia. 

Panglima 13 Briged Brig Jen Datuk Jagjit Singh berkata kem itu dalam proses pembinaan dan diharapkan siap dalam tempoh ditetapkan.

“Kami harap kem siap sepenuhnya pada 2028 dan semua pegawai serta anggota berkhidmat di Markas 13 Briged Infantri, Kem Cenderawasih boleh berpindah masuk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Pada 9 Nov, media melaporkan pembinaan kem tentera baharu bernilai lebih RM500 juta di Felda Sahabat di sini. 

Pembinaan kem itu bagi menyediakan kediaman kepada anggota 13 Briged yang berdepan isu sewa rumah mahal di Tawau dan Lahad Datu.

Jagjit berkata ketika ini penambahan sewaan berkelompok sebanyak 120 unit kuarters dibuat untuk keselesaan anggota kem itu.

Dalam pada itu, Jagjit berkata kawasan Briged ke-13 yang meliputi Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Tongod dalam keadaan selamat.

Beliau berkata selain menjaga keselamatan darat, mereka juga terlibat dalam OPS Murni bagi menyelamatkan mangsa banjir.

Terdahulu, Jagjit dan isteri Datin Kiranjeet Kaur antara 273 pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menunaikan tanggungjawab di Dewan Gagah Berani, Kem Cenderawasih di sini.

Beliau berkata terdapat lima kem tentera dalam lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah naungan 13 Briged iaitu Tungku, Segama, Apas, Kukusan dan Sebatik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian manakala undi awal hari ini melibatkan 24,426 pengundi terdiri daripada anggota serta pegawai polis dan tentera bersama-sama pasangan.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495220