KUDAT, 25 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak memilih parti politik yang telah gagal memerintah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 pada 29 Nov ini.
Sebaliknya, beliau menasihati mereka supaya memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah menunjukkan prestasi baik dan mampu memerintah negeri itu dengan cemerlang sepanjang lima tahun ini.
“Kerajaan GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program serta meningkatkan pembangunan ekonomi termasuk kutipan hasil dan rizab negeri... ini adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan rakyat.
“Kita mahu membawa Sabah ke satu tahap lagi selepas pilihan raya ini agar setanding dengan negeri lain di negara ini,” katanya semasa kempen Rumah Kita, Kita Jaga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi dan Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus Kudat di sini hari ini.
Turut hadir calon GRS bagi DUN Banggi Datuk Mohammad Mohamarin dan DUN Tanjong Kapor Datuk Chong Chen Bin.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, meminta rakyat di kedua-dua DUN memilih calon parti itu sebagai wakil rakyat di kawasan mereka pada PRN kali ini.
Beliau tertarik dengan kedua-dua calon kerana mereka mempunyai visi tersendiri bagi membangunkan kawasan khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan infrastruktur.
Hajiji juga berkata mandat yang diberikan kepada GRS pada PRN Sabah ke-17 akan membolehkan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 diteruskan pada masa akan datang.
“Dalam tempoh lima tahun ini, kita sudah bangunkan ekonomi, kita bawa masuk pelabur dan mewujudkan taman perindustrian baharu di Kudat yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Ekonomi Biru.
“Sudah pasti ini akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pemimpin atau parti yang mendakwa GRS sebagai kerajaan yang gagal.
-- BERNAMA