TUMPAT, 25 Nov (Bernama) -- Mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau meninggalkan rumah sepanjang musim banjir diminta mengisi maklumat dalam aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan pihak polis melakukan rondaan di kediaman masing-masing.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata langkah itu penting bagi memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan daripada risiko dipecah masuk atau kehilangan harta benda.
“Setakat ini, dalam gelombang pertama banjir kali ini kami belum menerima laporan kecurian, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil. Aplikasi ini memudahkan orang awam membuat laporan tanpa perlu hadir ke balai.
“Namun, sehingga kini tiada mangsa yang mengisi borang melalui aplikasi itu. Kami alu-alukan masyarakat, khususnya mereka yang terkesan banjir memuat turun aplikasi ini dan mengisi borang VSP supaya polis dapat melakukan rondaan secara berkala,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Kok Keli di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata setakat ini pihaknya hanya menggunakan kira-kira 10 peratus logistik bagi menghadapi gelombang pertama banjir di Kelantan berikutan tiada situasi banjir besar berlaku.
Beliau berkata banjir kali ini masih terkawal dan hanya melibatkan limpahan air di kawasan rendah berikutan taburan hujan lebat, bukannya akibat kenaikan paras sungai.
“Jadi, kami belum perlu menggerakkan aset besar manakala penugasan anggota dibuat mengikut daerah yang terkesan banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 21 anggota polis di jajahan Tumpat turut terkesan banjir dan telah berpindah ke PPS, namun tiada balai polis yang terjejas.
Mohd Yusoff turut menasihatkan orang awam agar tidak menjadikan banjir sebagai pesta kerana ia boleh mengundang kecelakaan termasuk meragut nyawa.
Beliau berkata Kelantan mencatatkan satu kematian setakat ini, melibatkan seorang wanita yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama dua rakannya sebelum dihanyutkan kepala air di Jambatan Nombor Dua, Kampung Pulai pada Khamis lepas.
-- BERNAMA