SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Limpahan air sungai serta hujan berterusan melebihi sehari antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan Sungai Buloh semalam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keadaan itu menyebabkan kawasan sekitar serta sistem tebatan banjir sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air.
Beliau berkata walaupun kerajaan negeri telah membina benteng namun keadaan cuaca luar jangka dan peningkatan paras air yang mendadak masih memberi kesan besar kepada penduduk.
“Pihak kerajaan negeri kini sedang mengenal pasti langkah-langkah susulan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan penduduk.
“Ini termasuk penambahbaikan infrastruktur tebatan banjir serta tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Hantaran itu adalah mengenai lawatan beliau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Desa Aman, Sungai Buloh, petang tadi.
Amirudin berkata sekolah berkenaan merupakan PPS terbesar di Selangor setakat ini yang menempatkan hampir 1,000 mangsa banjir daripada 231 keluarga dari tiga kawasan terjejas iaitu Taman Saujana Aman, Kampung Sri Aman dan Kampung Boyan.
Setakat 5.30 petang, seramai 2,910 mangsa daripada 789 keluarga sedang berlindung di 23 PPS di lima daerah terjejas banjir di Selangor.
-- BERNAMA