IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan sembilan orang awam yang terkandas di Pulau Jarak akibat kejadian tanah runtuh.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa terlibat menjalankan kerja penyelenggaraan suar maritim sebelum terperangkap selepas hujan lebat berterusan yang menyebabkan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.
"Sebuah helikopter Super Lynx digerakkan untuk pemindahan kecemasan dan semua mangsa berjaya dibawa keluar tanpa kecederaan serius," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, di perairan Pulau Perak, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11 pagi semalam selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.
"Kapal KD Ledang dikerahkan untuk operasi pencarian sebelum kesemua 19 mangsa ditemukan pada 10.15 malam, termasuk seorang yang disahkan meninggal dunia.
"Mangsa terselamat diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan TLDM sebelum dihantar ke daratan bagi pemeriksaan lanjut," menurut kenyataan itu.
TLDM memaklumkan komuniti maritim diingatkan supaya lebih berwaspada ketika melakukan aktiviti di laut, memastikan bot dan kapal dalam keadaan baik serta mematuhi amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa memandangkan keadaan perairan, khususnya di Selat Melaka bergelora ketika ini.
-- BERNAMA