JENAYAH & MAHKAMAH

10 Warga Myanmar Dipenjara Kerana Miliki Gas LPG Tanpa Lesen

27/11/2025 07:37 PM

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) -- Enam lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 12,943.10 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, April lepas.

Pengakuan Min Min, 23, Thar Tun, 37, Thein Than, 22,  Aung Min Tun, 28, Kyaw Thu Ya, 24, dan Myo Thu Htet, 24 selaku Orang Kena Saman (OKS) direkodkan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama-sama didapati memiliki LPG itu yang merupakan barang kawalan berjadual pada 9 malam 30 April di sebuah premis di Jalan Lombong Emas 13, Kawasan Industri Ringan di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan di mahkamah sama, empat lelaki Myanmar dipenjara enam bulan kerana memiliki 23,414 kg LPG tanpa lesen pada 4 pagi 22 Ogos di sebuah premis di Jalan Tampin-Senawang, Kawasan Perindustrian Ringan Senawang di sini.

Mang Zaw, 25, Aung, 30, Naing 33, dan Lin 25, didapati memiliki barang kawalan itu dengan 2,408 kg daripadanya dalam 172 tong LPG 14 kg, tangki semi treler (6,790 kg) dan 1,083 tong LPG14 kg (14,216 kg) di pelantar.

Pada prosiding itu, hakim mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lelaki tempatan Chong Ming Fei, 28, yang terlibat dalam dua kes tersebut kerana gagal hadir ke mahkamah selain memerintahkan RM10,000 daripada wang jaminan dirampas manakala RM5,000 dikembalikan kepada penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Nor Alimah Mohd Sanusi dan Pegawai Pendakwa KPDN Salim Wahid manakala semua OKS tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496133