JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Tumpas 10 Aktiviti Lombong Haram, 53 Individu Ditahan

27/11/2025 06:54 PM

PASIR MAS, 27 Nov (Bernama) -- Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 10 kes perlombongan mineral secara haram di Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, melibatkan 53 individu ditahan serta rampasan bernilai RM8.9 juta.

Komandernya SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kegiatan itu, melibatkan perlombongan emas dan beberapa unsur mineral lain di bawah enakmen jenayah negeri, yang kebanyakannya dikesan dilakukan di kawasan hutan simpan.

“Individu yang ditahan terdiri daripada pekerja tempatan dan warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

“Antara peralatan yang dirampas termasuk palong dan karpet penapis yang digunakan untuk menapis sisa mineral. Semua rampasan telah dihantar kepada Jabatan Mineral untuk tujuan pengesahan serta analisis lanjut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan operasi musim banjir di beberapa pos PGA di Rantau Panjang, hari ini.

Sementara itu, PGA tetap komited mengekang kemasukan pendatang dan jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, termasuk di sekitar Sungai Golok, meskipun banjir menyebabkan beberapa laluan rondaan dinaiki air susulan monsun timur laut.

Ahmad Radzi berkata kenaikan paras air itu menjejaskan akses rondaan darat di beberapa kawasan, namun tindakan penguatkuasaan tidak dihentikan kerana rondaan dialihkan kepada penggunaan bot dan menerbangkan dron.

Beliau berkata setakat ini belum ada kes rentas sempadan dikesan sepanjang banjir, namun PGA meningkatkan pemantauan memandangkan keadaan air yang tinggi boleh memudahkan pergerakan sindiket.

“Memang secara tak langsung apabila banjir menjejaskan penugasan atau rondaan anggota PGA, kerana sempadan sungai itu sudah tidak ada. Bagaimanapun kita tetap komited mengekang kemasukan pendatang dan jenayah rentas sempadan, dengan mengggunakan kaedah lain,” katanya.

Ahmad Radzi berkata kemasukan pendatang biasanya berlaku dalam kumpulan kecil, namun lokasi pergerakan sindiket sering berubah mengikut kehadiran penguat kuasa.

Mengulas situasi banjir, Ahmad Radzi berkata lima pos PGA dikenal pasti terjejas, antaranya Pos Ibrahim Pencen, Pos Syarifah dan Pos Terusan, yang masing-masing menempatkan empat anggota, dengan paras air kini melepasi paras amaran.

Beliau berkata pemindahan aset kerajaan di pos-pos terjejas telah dilaksanakan lebih awal bagi mengelakkan kerosakan, manakala barangan peribadi anggota sedang dipindahkan secara berperingkat.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496158