KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$123.76 bilion (US$1= RM4.12) pada 31 Okt, 2025, manakala aset mata wang asing lain berada pada US$201.6 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain, mengikut format Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ia turut menyediakan panduan mengenai jangkaan dan potensi aliran masuk dan keluar pertukaran asing kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan bahawa pada akhir Oktober 2025, rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut BNM, bagi tempoh 12 bulan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi deposit, sekuriti dan pinjaman mata wang asing, termasuk antara lainnya, pembayaran balik berjadual bagi peminjaman luar oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing berjumlah US$14.17 bilion.
“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah US$20.64 bilion pada akhir Oktober 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” tambahnya.
Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 20026, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
BNM juga menambah bahawa unjuran aliran masuk itu berjumlah US$2.77 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Dalam pada itu, BNM berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontigensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$417 juta.
“Tidak ada pinjaman mata wang asing yang terkandung dalam opsyen, tiada kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank atau institusi kewangan lain.
“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.
-- BERNAMA