AM

Anemia: Kira-kira 70,000 Kanak-kanak Seluruh Negara Disaring Di Bawah Inisiatif Danone–KPWKM

28/11/2025 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kira-kira 70,000 kanak-kanak di seluruh negara telah menjalani saringan risiko anemia di bawah inisiatif yang diterajui oleh Danone Specialized Nutrition Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Danone, syarikat makanan dan minuman global dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa angka itu, yang turut merangkumi peningkatan enam kali ganda pada 2025 berbanding ketika program itu dimulakan pada 2023, mencerminkan peralihan daripada kesedaran kepada tindakan pencegahan.

 Menurut kenyataan itu, peralihan berkenaan jelas ketara ketika sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan KPWKM di Stadium Merdeka pada Ahad lepas, dengan 800 kanak-kanak disaring dalam satu hari.

"Apabila halangan seperti kunjungan ke klinik dan kos dikurangkan, ibu bapa memilih pemeriksaan risiko secara proaktif berbanding menunggu gejala muncul," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengurus Negara Danone Specialized Nutrition Malaysia dan Singapura Koh Kok Meng berkata sambutan pada Hari Kanak-Kanak Kebangsaan menunjukkan bahawa ibu bapa memahami kepentingan menangani kekurangan zat besi pada peringkat awal.

"Program ini menunjukkan kemungkinan apabila keupayaan sektor swasta digabungkan dengan capaian kerajaan.

"Hal ini membuktikan bahawa model berkenaan berkesan, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai jangkauan negara, justeru kami akan terus meluaskan akses melalui titik sentuh komuniti di seluruh negara," katanya.

Dalam kenyataan sama, Pakar Perunding Kanan Paediatrik Endokrinologi Universiti Malaya Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata kekurangan zat besi ialah punca anemia paling lazim.

"Penyelidikan menunjukkan bahawa IDA (anemia kekurangan zat besi) boleh memberikan kesan jangka panjang dan tidak dapat dipulihkan terhadap perkembangan otak dengan kanak-kanak terjejas menunjukkan skor IQ hingga 13 mata lebih rendah daripada rakan sebaya mereka. Saringan awal membuka peluang untuk intervensi," katanya.

Danone turut memaklumkan bahawa saringan risiko anemia, yang diteruskan menerusi titik sentuh KPWKM dan acara komuniti, dirancang untuk mencapai lebih keluarga di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496519