AM

Yayasan Sultan Ibrahim Johor Sumbang 100 Unit Televisyen Pintar Kepada Sekolah Agama

28/11/2025 05:03 PM

JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan 100 unit televisyen pintar kepada sekolah-sekolah agama di seluruh negeri itu sebagai usaha memperkasa pembelajaran digital serta meningkatkan kualiti pengajaran di institusi pendidikan berkenaan.

Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh berkata sumbangan itu diharap dapat memberi manfaat besar kepada para pelajar dan tenaga pengajar dalam menerapkan kaedah pembelajaran yang lebih interaktif, moden dan berkesan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YSIJ dalam memastikan setiap institusi pendidikan menerima kemudahan teknologi yang setanding dengan keperluan semasa.

“Ia membuka ruang kepada pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Sekolah Menengah Tinggi Arab (Maahad Johor) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.

Sementara itu, Mohd Fared merakamkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas kurniaan sumbangan melalui YSIJ, serta menyifatkan keprihatinan dan kepekaan baginda terhadap sekolah-sekolah agama di Johor amat bermakna, khususnya untuk warga pendidik dan pelajar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496520