AM

Banjir: Bantuan Tambahan Dihantar Ke Beberapa Negeri - NADMA

28/11/2025 07:08 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menyelaraskan penghantaran bekalan tambahan ke beberapa negeri pada kadar segera susulan peningkatan kejadian banjir ketika ini.

NADMA dalam kenyataan memaklumkan permohonan tambahan telah diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, Selangor, Kedah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis yang melibatkan 3,000 unit kit makanan dan 6,700 unit makanan retort bagi memenuhi keperluan petugas dan mangsa bencana.

“Sebanyak 128,186 unit khemah boleh lipat (C-Tent) juga telah dibekalkan ke seluruh negara daripada pelbagai sumber antaranya NADMA sebanyak 41,479 unit, Yayasan Sultan Johor (40,166), Petronas (5,194) JKM (39,485) dan lain-lain (1,862).

"NADMA bersedia untuk membuat penghantaran tambahan C-Tent jika terdapat keperluan di lapangan," menurut kenyataan itu hari ini.

NADMA memaklumkan penyelarasan sedang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan kesiapsiagaan negeri berada pada tahap optimum.

"Bagi memperkukuh keupayaan pemulihan infrastruktur semasa bencana, NADMA telah menempatkan tujuh set jambatan Bailey di lokasi-lokasi strategik iaitu tiga set masing-masing di Sabah dan Sarawak serta satu set di Kelantan," menurut kenyataan itu.

Jambatan Bailey berfungsi sebagai jambatan sementara yang dapat digunakan bagi menggantikan jambatan kekal yang rosak atau musnah akibat bencana alam.

NADMA memaklumkan langkah awal telah diambil memastikan keperluan logistik bencana berada pada tahap optimum sebelum musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula meliputi pembekalan bantuan makanan, C-Tent serta aset jambatan Bailey.

Selain itu, turut disediakan 60,000 bekalan kit makanan untuk mangsa bencana selepas keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) serta 110,000 unit makanan retort untuk petugas operasi di lapangan serta untuk kegunaan hari pertama PPS dibuka telah dihantar ke depoh-depoh di seluruh negara.

NADMA memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menyediakan bekalan makanan semasa bencana secara berfasa.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496583