KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan penggunaan peti undi tambahan di beberapa tempat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 esok adalah disebabkan saiz kertas undi yang besar.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata penggunaan peti undi di saluran adalah tertakluk kepada jumlah calon bertanding dan jumlah pemilih.
“Bagi kawasan dengan tujuh hingga 12 penjuru, satu peti undi akan digunakan jika pengundi kurang daripada 450 orang manakala dua peti undi diperlukan jika melebihi 450 pengundi.
“Bagi kawasan 13 hingga 14 penjuru pula, dua peti undi diperlukan untuk kurang 450 pengundi dan tiga peti undi bagi lebih 450 pengundi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata penggunaan lebih daripada satu peti undi adalah kerana saiz kertas undi yang besar dan memerlukan ruang yang mencukupi untuk memuatkan semua kertas undi yang telah ditanda oleh pengundi pada hari mengundi.
Beliau juga berkata SPR telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi bagi kegunaan hari mengundi pada PRN Sabah ke-17 esok.
Proses semakan itu untuk memastikan kesemua peralatan mengundi lengkap dan dalam keadaan baik dengan kesemua peralatan diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi bagi setiap tempat mengundi (saluran).
Sebanyak 1,742,934 pengundi bakal mengundi pada PRN Sabah kali ini dengan 882 Pusat Mengundi dan 3,559 saluran dibuka untuk tujuan itu.
Beliau berkata 28,533 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.
-- BERNAMA