KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak berhasrat melupuskan 20 kenderaan Lipan Bara buatan Chaiseri, Thailand, yang masih digunakan dalam operasi dan latihan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Adly berkata daripada jumlah tersebut, 14 kenderaan digunakan oleh Kor Armor Diraja di Kota Belud, Sabah, manakala enam lagi ditempatkan di Pusat Latihan Armor di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Kesemua kenderaan ini masih berfungsi dan menyokong keperluan operasi semasa,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam soalannya, Ikmal Hisham meminta Menteri Pertahanan menyatakan mengenai perancangan TDM untuk melupuskan 20 kenderaan Lipan Bara atau High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) buatan Chaiseri dari Thailand, mengambil kira perolehan terkini kenderaan 4x4 Tarantula buatan Syarikat Mildef dari Malaysia.
Berhubung perolehan kenderaan HMAV Tarantula buatan Syarikat Mildef, Adly berkata Kementerian Pertahanan merancang memperoleh 136 unit berdasarkan keperluan TDM sebagai pengguna akhir.
Adly berkata perolehan itu bertujuan meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan TDM pada masa hadapan selaras dengan keperluan pertahanan negara.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai penilaian semula terhadap kilang pemasangan helikopter AW149 oleh syarikat Leonardo di Melaka, Adly berkata Kementerian Pertahanan tidak terlibat dalam pembinaan kemudahan tersebut.
“Secara dasarnya, kementerian tidak terlibat kerana ia merupakan kerjasama antara syarikat swasta secara ‘business-to-business’ dengan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata pembangunan kilang itu adalah hasil perbincangan tiga hala antara kerajaan Melaka dengan syarikat Leonardo, iaitu sebuah syarikat teknologi dan pertahanan dari Itali dan Westar Aviation Sdn Bhd, selaras dengan perjanjian konsesi pajakan 28 helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan.
-- BERNAMA